Kategori: Tahukah Anda?

Belanjawan 2022 yang bertemakan Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera dirangka merentasi tiga matlamat induk iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan dengan semuanya berpusat kepada rancangan pembangunan masa depan negara.

Ia dijajarkan kepada keutamaan dasar Rancangan Malaysia Ke-12 dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030. Intipati kandungan pembentangan bajet keusahawanan dalam Belanjawan 2022.

Tahukah anda, jika rupa pembungkusan sesebuah produk itu menarik, ia merupakan salah satu faktor utama yang boleh menggerakkan hati seseorang untuk membelinya?

Sebagai contoh, dalam industri pakaian, tekstil & aksesori, berbanding dahulu, kebanyakan pengeluar produk hanya menggunakan beg plastik atau beg kertas khas sebagai pembungkusan akhir barangan, namun kini, pembungkusan telah berubah kepada customade box beserta dengan corak rekaan yang kreatif agar produk dikeluarkan tampak eksklusif dan boleh dijadikan sebagai hadiah.

Malah, ada juga sesetengah pelanggan yang sanggup berhabis duit semata-mata ingin mengumpul pembungkusan menarik ini sebagai tanda kesetiaan, koleksi dan kepuasan diri.

Jadi, apakah perkara utama yang menjadikan pembungkusan produk yang dikeluarkan mampu menarik perhatian pelanggan selain dapat membina kepercayaan dan kesetiaan pengguna?

Bergelar usahawan di zaman ‘fast-paced digital’ ini, memiliki aplikasi yang boleh membantu menguruskan perniagaan amat penting kerana ia membolehkan anda memantau pergerakan perniagaan di mana saja berada.

Oleh itu, anda harus tahu jenis aplikasi mudah alih yang mana perlu anda miliki terutama bagi meningkatkan produktiviti, komunikasi, pengurusan masa & kewangan, serta aspek-aspek lain berkaitan perniagaan.

Antara aplikasi yang anda perlu ada adalah:

Antara aplikasi yang menjadi pilihan banyak perniagaan dan individu.

Skype
Skype adalah antara aplikasi yang menjadi pilihan banyak perniagaan dan individu khususnya untuk berhubung secara panggilan video. Penggunaannya sangat mudah dan muat turun Skype juga adalah percuma. Selain membolehkan anda membuat panggilan antarabangsa dengan kos rendah, ia juga mampu merakam pertemuan atau panggilan penting melalui video dan audio. Malah, perkongsian skrin juga boleh dilakukan secara berkumpulan memudahkan anda untuk berkolaborasi dalam projek tanpa perlu bersemuka secara berdepan dengan pelanggan.


LinkedIn adalah perkhidmatan rangkaian sosial yang berorientasikan perniagaan.

LinkedIn
Aplikasi ini tidak perlu diperkenalkan lagi malah kini ia menjadi medium utama bagi golongan profesional di seluruh dunia yang ingin mencari pelabur, rakan kongsi atau calon pekerja/pelanggan berdasarkan kelayakan, industri, pengalaman dan banyak lagi. Melalui LinkedIn juga, anda boleh mendapatkan maklumat terkini tentang perkembangan semasa dunia perniagaan baik dalam mahupun luar Negara. Secara dasarnya, LinkedIn adalah umpama Facebook bagi golongan profesional yang ingin ‘melobi’ kredibiliti mereka selain berkongsi maklumat yang bermanfaat dengan orang ramai.

Scan2PDF Mobile
Scan2PDF Mobile adalah aplikasi yang digunakan untuk mengimbas dokumen dan menukarnya kepada fail PDF hanya menggunakan telefon pintar anda. Pada asasnya, ia menjadikan telefon anda pengimbas dokumen dan mesin faks. Perisiannya meningkatkan dan memampatkan output dari kamera ke dalam PDF berkualiti tinggi, yang kemudian disimpan di telefon anda dan ia dapat diemel. Secara tidak langsung, ia menjimatkan masa, wang dan juga alam sekitar memandangkan tiada sebarang cetakan karbon diperlukan.


Dropbox adalah perkhidmatan percuma yang membolehkan semua foto, dokumen, dan video dibawa ke mana sahaja.

Dropbox
Ia merupakan salah satu penyimpanan atas talian terbaik saat ini di mana ia boleh diakses pada bila-bila masa dari peranti yang mempunyai rangkaian internet. Dropbox membolehkan perkongsian foto, dokumen dan video dengan komputer riba atau peranti mudah alih melalui perkhidmatan penyimpanan fail. Aplikasi ini sangat berguna untuk berkongsi fail dengan rakan sekerja anda.

Tanggal 17 Julai 2021 menjadi lakaran sejarah kewujudan PERBADANAN USAHAWAN NASIONAL BERHAD (PUNB) selama 30 tahun dalam arena keusahawanan dengan matlamat untuk meningkatkan penglibatan dan membangun usahawan serta perniagaan Bumiputera yang berkualiti agar mampu bersaing dan berdaya tahan baik di peringkat domestik mahupun antarabangsa.

Sejak penubuhan PUNB, lebih 13,000 usahawan Bumiputera telah dibantu dalam usaha mengembangkan perniagaan mereka melalui sokongan pembiayaan dan korporat yang ditawarkan. Pelbagai jenis industri dan perniagaan yang dahulunya kurang diceburi oleh Bumiputera, namun dengan usaha dan perancangan strategik yang dilaksanakan oleh PUNB, sedikit sebanyak membuka mata dan minda Bumiputera untuk meluaskan empayar perniagaan mereka ke bidang yang lebih dimonopoli oleh bukan Bumiputera.

Sehingga hari ini, sokongan dan perkhidmatan PUNB masih lagi relevan serta memainkan peranan penting dalam memastikan usahawan dan perniagaan Bumiputera berada di landasan yang betul. Penambahbaikan dalam pakej bantuan pembiayaan perniagaan sentiasa dilakukan agar PUNB dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik.

Bagi anda yang ingin mengetahui tentang perkhidmatan yang ditawarkan oleh PUNB, artikel ini boleh membantu anda dalam membuat pilihan terbaik untuk perniagaan.

Mari kita baca!

Pembiayaan Utama PUNB

PUNB menyediakan pembiayaan perniagaan untuk membangun dan memperkasa usahawan Bumiputera serta perniagaan mereka agar berdaya maju, berdaya saing dan berdaya tahan.

Pakej Pembiayaan PUNB merangkumi pembiayaan dari RM100 ribu sehingga RM10 juta. Jika perniagaan anda adalah milikan tunggal atau perkongsian, jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah terhad kepada maksimum sehingga RM300 ribu sahaja melainkan jika anda menjalankan perniagaan stesen minyak di mana anda boleh mendapatkan pembiayaan maksimum sehingga RM500 ribu.

Tempoh bagi pembiayaan ditawarkan adalah sehingga 7 tahun dengan kadar keuntungan dari 5-8% setahun (tertakluk kepada kegunaan pembiayaan yang diluluskan).

Antara syarat kelayakan bagi memohon pembiayaan bersama PUNB adalah perniagaan haruslah dimiliki atau dikuasai oleh Bumiputera, syarikat anda telah beroperasi sekurang-kurangnya 18 bulan dan ke atas serta memiliki rekod kewangan perniagaan yang terkini.

Pembiayaan yang ditawarkan oleh PUNB merangkumi ke semua jenis industri dan perniagaan kecuali perniagaan di bawah sektor perikanan, perladangan dan pertanian. Mengapa? Ini adalah kerana sektor ini sudah mempunyai entiti tersendiri yang mengawal, memantau dan menguruskannya. Walau bagaimanapun, jangan kecewa, PUNB tetap boleh membantu anda yang memerlukan bantuan pembiayaan sekiranya ingin mengeluarkan produk baharu hasil keluaran daripada ketiga-tiga sektor ini contohnya seperti produk sejuk beku, pembiayaan dari segi pembungkusan dan pemasaran produk, sewaan dan pembelian premis pemprosesan produk dan sebagainya bergantung kepada terma serta syarat yang telah ditetapkan.

Istimewanya pembiayaan PUNB, sekiranya permohonan diluluskan, anda akan mendapat rebat duti setem ke atas surat cara/dokumen pembiayaan, cagaran yang minimum selain rebat pembiayaan sekiranya anda adalah pembayar pembiayaan yang baik mengikut terma dan syarat ditetapkan.

Selain daripada pembiayaan, anda juga akan mendapat khidmat sokongan korporat merangkumi khidmat nasihat dan pemantauan perniagaan, promosi dan pemasaran di samping kursus dan latihan serta jaringan keusahawanan bagi memastikan kecemerlangan perniagaan yang mampan. Bimbingan dari PUNB akan memastikan anda mencapai matlamat yang diinginkan sepanjang menjalankan perniagaan. Pegawai-pegawai berkemahiran PUNB sentiasa bersedia untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada para usahawan mengikut prosedur-prosedur yang telah ditetapkan.

Di samping itu juga, kursus dan latihan yang ditawarkan juga amat berguna bagi memantapkan lagi ilmu keusahawanan anda sebagai seorang usahawan baik dari aspek rohani mahupun jasmani. PUNB akan berusaha sedaya upaya membantu usahawan dan perniagaan Bumiputera yang memerlukan.

Sekiranya anda berjaya mendapat pembiayaan bersama PUNB, secara automatiknya anda adalah RAKAN USAHAWAN PUNB dan dapat menikmati kesemua khidmat yang ditawarkan oleh kami!

Inilah keunikan PUNB berbanding dengan agensi keusahawanan dan insititusi kewangan yang lain. Menarik bukan?

Skim Hartanah PUNB

Selain daripada pembiayaan utama, PUNB turut menawarkan khidmat sewaan premis perniagaan kepada usahawan dan perniagaan Bumiputera. Skim ini membuka peluang dan memudahkan usahawan Bumiputera yang berminat untuk menjalankan perniagaan mereka dengan kadar sewaan yang kompetitif.

PUNB memahami permasalahan usahawan khususnya Bumiputera yang terpaksa menyewa premis dengan harga sewaan yang tinggi selain kos penyelenggaraan yang menelan modal yang banyak. Semakin strategik lokasi perniagaan, maka lebih tinggi harga sewaan akan dikenakan walaupun lot tanah atau premis yang disewa tidak sebesar mana. Ini adalah lumrah. Jadi bagaimana PUNB boleh membantu?

Untuk pengetahuan, PUNB sendiri sudah memiliki premis perniagaan yang sedia untuk disewa oleh usahawan Bumiputera yang memerlukan di seluruh Negara. Lokasi premis perniagaan milik PUNB kebanyakannya terletak di lokasi utama dan strategik seperti di pusat bandar, lokasi tumpuan orang ramai dan kawasan pembangunan baharu. Premis perniagaan yang ditawarkan juga termasuklah lot-lot kedai komersial dan bangunan perindustrian kecil. Sewaan bersama PUNB dapat memastikan harga sewaan yang ditawarkan tidak ‘cekik darah’ selain PUNB juga amat terbuka untuk berunding sekiranya penyewa mempunyai sebarang permasalahan melibatkan sewaan.

PUNB juga turut mempertimbang untuk membuat pembelian premis perniagaan sedia ada yang disewa oleh usahawan bergantung kepada keperluan dan kesesuaian perniagaan yang sedang dijalankan di premis berkenaan.

Malah, di bawah Skim Hartanah PUNB juga, anda turut diberi peluang untuk memiliki permis perniagaan anda sendiri melalui sebuah inisiatif yang dikenali sebagai Rent-To-Own atau RTO. Apa itu RTO?

RTO adalah sebuah inisiatif yang diwujudkan bertujuan membantu usahawan Bumiputera yang sedang menyewa untuk membeli premis atau hartanah tersebut melalui khidmat PUNB. Secara ringkasnya, sekiranya anda ingin membeli premis perniagaan yang sudah dimiliki oleh PUNB, syarat utama adalah anda harus menyewa terlebih dahulu dengan PUNB untuk tempoh tiga tahun seperti yang telah ditetapkan di bawah syarat permohonan RTO selain daripada syarat kelayakan lain yang perlu dipenuhi.

Sekiranya anda berhasrat untuk memiliki premis perniagaan yang bukan milik PUNB pula, contohnya premis yang anda sedang sewa dengan syarat, perniagaan anda juga telah dan sedang beroperasi dalam tempoh tertentu di premis tersebut, PUNB akan membantu anda dengan membeli hartanah atau premis berkenaan daripada pemiliknya (sekiranya pemilik bersetuju untuk menjual). Ini bermakna, anda secara automatik akan menjadi penyewa premis PUNB. Selepas tamat tempoh syarat kelayakan permohonan RTO serta memenuhi syarat-syarat kelayakan yang lain, premis ini akan menjadi milik anda melalui urusan pembelian yang dijalankan samada anda boleh membeli secara tunai ataupun mempunyai jaminan pinjaman kewangan daripada mana-mana institusi kewangan yang sah.

Sewaan anda dalam tempoh tiga tahun bersama PUNB ini akan dianggap sebagai deposit bagi pembelian hartanah atau premis tersebut. Mudahkan bersama PUNB?

Inisiatif Antarabangsa – GLORY 25 PUNB

Selain menumpukan kepada sokongan dan pembangunan keusahawanan Bumiputera dalam Negara, PUNB juga turut memperkenalkan sebuah inisiatif yang membantu mempertingkat dan menaik taraf perniagaan Bumiputera agar lebih kompetitif dan mampu menembusi pasaran global.

Inisiatif GLORY 25 ini khusus kepada perniagaan Rakan Usahawan PUNB selain daripada status syarikat mereka adalah diperbadankan serta bersedia untuk berkembang ke peringkat antarabangsa. Inisiatif ini merupakan kerjasama strategik antara PUNB dengan agensi dan kementerian berkaitan dalam usaha menyediakan platform bagi memudahkan usahawan membawa perniagaan mereka ke luar Negara.

Sebagai usahawan, sudah tentu menjadi impian peribadi agar perniagaan diusahakan dikenali bukan sahaja dalam Malaysia, malah juga seluruh dunia. Jika produk luar boleh bertapak dalam Negara, mengapa tidak produk kita juga ke tempat mereka?

Program JUMPER PUNB

JUMPER? Apa tu? Pelompat ke?

Sebenarnya, JUMPER merupakan akronim daripada sebuah program latihan keusahawanan berkonsepkan latihan sangkut yang dirangka oleh PUNB iaitu Jom Jadi Perantis.

JUMPER adalah terbuka bagi graduan muda Bumiputera berusia 30 tahun dan ke bawah yang berminat untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan serta ingin mempelajari tentang selok-belok perniagaan dengan bantuan daripada mentor (usahawan/syarikat yang dilantik oleh PUNB) untuk membimbing mereka.

Melalui JUMPER, perantis akan didedahkan dengan realiti sebenar dalam menguruskan sesebuah perniagaan selain kursus dan latihan lain yang ditawarkan oleh PUNB dalam tempoh 8 bulan penyertaan.

Menariknya, graduan bukan sahaja akan menerima elaun sara diri, malah layak untuk mendapatkan geran dan pembiayaan minimum bagi menjalankan perniagaan mereka sendiri. Erti kata lain, modal permulaan perniagaan anda disediakan. Bukan mudah nak dapatkan peluang seperti ini bukan?

Inilah PUNB!

Jadi anda tunggu apa lagi? Pintu kami sentiasa terbuka dan bersedia untuk anda yang benar-benar serius, mempunyai semangat dan fokus serta bercita-cita tinggi untuk mengembangkan perniagaan anda serta menjadi seorang usahawan yang cemerlang.

Sudah tentulah anda perlu memenuhi setiap terma dan syarat-syarat yang telah ditetapkan bagi setiap perkhidmatan yang ditawarkan di atas.

Bagi anda yang ingin mengetahui maklumat lanjut tentang kesemua perkhidmatan PUNB, anda boleh layari portal rasmi PUNB di www.punb.com.my atau anda boleh hubungi talian Khidmat Pelanggan kami di 1300 13 7862 serta e-mel ke customerservice@punb.com.my. Pegawai kami sedia untuk membantu!

Mulakan perjalanan kejayaan perniagaan anda bersama PUNB kerana KEJAYAAN ANDA, ASPIRASI KAMI!

PERBADANAN USAHAWAN NASIONAL BERHAD (PUNB) diwujudkan untuk meningkatkan penyertaan dan penglibatan Bumiputera dalam bidang keusahawanan dan melahirkan sebuah Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) yang dinamik, berdaya tahan, progresif dan berjaya.

Ia ditubuhkan pada 17 Julai 1991 di bawah Akta Syarikat 1965 dan merupakan milik penuh Yayasan Pelaburan Bumiputra (YPB).

PUNB beroperasi sebagai sebuah syarikat patuh syariah sepenuhnya pada 2010. Sejak 2019, PUNB disenaraikan sebagai syarikat di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Jom kenal PUNB!

Pelanggan adalah nadi kepada sesebuah perniagaan. Sebagai pelanggan, mereka sentiasa inginkan perkhidmatan yang terbaik walaupun adakalanya permintaan mereka sukar untuk dipenuhi.

Pelanggan percaya yang ‘Customer Is Always Right’, tidak kira dalam apa jua situasi. Namun, prinsip ini bukanlah tiket kepada mereka untuk memberi arahan sesuka hati. Hubungan dua hala yang paling berkesan adalah apabila terdapat ‘win-win situation’ di mana ia memberi keuntungan dan rasa puas hati kepada kedua-dua belah pihak.

Jadi, sejauh manakah frasa ‘Customer Is Always Right’ ini boleh diguna pakai?

Sebenarnya, pelanggan adalah betul sekiranya pelanggan mengetahui dan memahami peraturan, polisi, cara kerja penyedia perkhidmatan, jenis perkhidmatan ditawarkan dan batasan permintaan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan.

Pelanggan anda bukanlah pakar. Siapa yang lebih tahu tentang produk dan perkhidmatan kalau bukan anda dan pekerja anda sendiri?

Dalam perniagaan, anda pasti akan bertemu dengan pelanggan yang merasakan mereka lebih pakar daripada anda. Pelanggan hanya tahu apa yang mereka mahu tetapi tidak bermakna mereka pakar dalam hal berkenaan. Jika pakar, tidak mungkin mereka bertemu dan menggunakan perkhidmatan anda.

Disinilah pentingnya untuk anda memiliki piagam pelanggan. Apa itu?

Secara ringkasnya, piagam pelanggan adalah sebuah komitmen bertulis sesebuah organisasi/syarikat terhadap penyampaian keluaran atau perkhidmatan yang ditawarkan. Ia juga adalah sebuah jaminan dalam memastikan setiap perkhidmatan mengikut standard kualiti yang telah ditetapkan serta memenuhi kemahuan dan citarasa pelanggan.

Piagam pelanggan juga menerangkan kepada pelanggan jenis perkhidmatan dan hak yang diperolehi mereka. piagam ini haruslah jelas, senang disebar, kebolehpercayaan, praktikal, khusus dan boleh ditambah baik.

Antara contoh piagam pelanggan boleh didapati di pautan portal rasmi PUNB berikut:
https://www.punb.com.my/ms/piagam-perkhidmatan

Bergantung kepada industri dan sektor perniagaan anda, agak ‘bahaya’ jika anda membenarkan pelanggan anda fikir mereka sentiasa betul. Penyelesaian terbaik adalah dengan menunjukkan kepada mereka anda arif tentang produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, jangan melayan mereka dengan cara yang kurang menyenangkan tetapi dengan cara yang membantu mereka memenuhi permintaan diinginkan. Bantu mereka untuk memahami cara terbaik untuk mengguna pakai produk dan perkhidmatan anda sebaik mungkin. Ini boleh mengelakkan anda dari menjadi ‘gila’ dengan pelanggan anda, malah pelanggan anda juga akan gembira dengan perkhidmatan yang anda tawarkan.

Yang paling penting, jangan sesekali merungut dengan permintaan pelanggan dan sentiasa beringat untuk melayan pelanggan anda seolah-olah dialah pelanggan terakhir dalam menentukan kelangsungan syarikat anda. Siapa tahu kan,jika pelanggan puas hati, dia akan cerita pula pada orang lain. Cantikkan kalau dapat ‘marketing’ percuma begitu?

Kita selalu diberi gambaran bahawa negara luar seperti Amerika dan Jerman menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Namun demikian, tanpa kita sedari, sebenarnya Malaysia telah diiktiraf menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik di dunia.

Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa (International Medical Travel Journal, IMTJ) telah menobatkan Malaysia sebagai negara destinasi pelancongan kesihatan dan perubatan terbaik  dari 2015 sehingga 2017. Malaysia juga menerima anugerah yang sama bagi gugusan terbaik (cluster of the year) pada 2018. Di samping itu, Indeks Persaraan Global Tahunan kelolaan majalah International Living juga mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan terbaik di dunia dari 2015 hingga 2017, dan sekali lagi  pada 2019.  Lantaran itu, Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai negara yang menawarkan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi dan berkualiti.

Orang ramai biasanya hanya mengenali para doktor, jururawat dan pembantu perubatan yang memberikan rawatan kepada pesakit. Namun demikian, tunjang utama sesebuah organisasi pengurusan penjagaan kesihatan ialah sistem sokongannya iaitu memastikan institusi penjagaan kesihatan diurus dan ditakbir dengan baik.

Perbezaan antara Pentadbiran Penjagaan Kesihatan dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan
Istilah “pengurusan penjagaan kesihatan” dan “pentadbiran penjagaan kesihatan” sering kali disalahgunakan, dan orang ramai selalunya menganggap kedua-dua istilah ini  membawa erti kata yang sama, sedangkan maknanya agak berbeza.

Pentadbiran penjagaan kesihatan hanya menguruskan kakitangan dan pekerja sahaja. Sebagai contoh, pentadbir penjagaan kesihatan biasanya bertanggungjawab mengupah kakitangan untuk jabatan tertentu. Selain itu, pentadbir penjagaan kesihatan akan menentukan jalan terbaik untuk membantu kakitangan supaya lebih cekap dalam menjalankan tugas mereka, dan lebih memahami jenis rawatan yang ditawarkan oleh pusat kesihatan kepada pesakit. Pengurusan penjagaan kesihatan melibatkan penyediaan perkhidmatan kesihatan, seperti perkhidmatan kesihatan kecemasan, rehabilitasi dan penjagaan paliatif. Individu yang terlibat dalam perkhidmatan seperti ini memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan. Walaupun mereka ini mungkin tidak melakukan pembedahan atau memberi ubat kepada pesakit tetapi mereka masih terlibat dengan rawatan pesakit secara langsung.

Pentadbiran dan pengurusan penjagaan kesihatan penting dalam sistem penjagaan kesihatan, namun bidang ini masih kurang mendapat perhatian. Sebenarnya, bidang ini banyak menyediakan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan baharu kerana masih berada di peringkat awal perkembangannya di Malaysia. Berikut ialah senarai beberapa jawatan dan peluang perniagaan berkaitan yang boleh diceburi:

1. Pentadbir Pejabat Perubatan
Tanggungjawab pentadbir pejabat perubatan termasuk memastikan urusan perkhidmatan penjagaan kesihatan berjalan dengan lancar. Pentadbir pejabat bukan sahaja menjawab telefon tetapi mengendalikan kontrak, menghubungi syarikat insuran, serta mengurus dan membayar upah pekerja.

2. Pembantu Eksekutif Perubatan
Pembantu Eksekutif Perubatan  membantu para doktor dengan melakukan tugas pentadbiran tahap tinggi tertentu. Tugas ini termasuklah membantu doktor meninjau semula dokumen dan laporan kesihatan pesakit, menjalankan kajian tertentu, mencatat rencana dan menjadualkan temu janji.

3. Juruteknik dan Pengurus Maklumat Kesihatan
Juruteknik Maklumat Kesihatan bekerja bawah kelolaan Pengurus Maklumat Kesihatan dan bertanggungjawab menguruskan dan menyimpan semua rekod perubatan pesakit. Juruteknik ini juga perlu memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan berterusan berkaitan perisian komputer dan amalan keselamatan serta kerahsiaan maklumat pesakit. Tugas Pengurus Maklumat Kesihatan termasuklah merangka polisi untuk mengakses dan mengemas kini rekod perubatan pesakit supaya maklumat peribadi pesakit sentiasa terlindung.

Memandangkan Malaysia akan melaksanakan sepenuhnya rekod kesihatan secara elektronik (EMR system) pada tahun ini, jawatan Juruteknik Maklumat Kesihatan akan sangat diperlukan dalam pengurusan organisasi penjagaan kesihatan, sama ada di hospital kerajaan  mahupun hospital swasta.

4. Penjagaan Paliatif
Penjagaan paliatif ialah rawatan untuk menangani gejala fizikal, emosi dan psikologi yang biasanya melanda pesakit yang menghidap penyakit serius. Rawatan bagi penyakit serius tidak semestinya bertujuan menyembuhkan penyakit atau melanjutkan usia pesakit tetapi bertujuan memaksimumkan mutu hidup pesakit. Penjagaan paliatif bertujuan membantu pesakit menangani tekanan hidup yang mereka alami akibat menghidap penyakit serius,  atau membantu mereka menghadapi rawatan agresif yang mungkin terpaksa mereka lalui.

Pihak yang terlibat dalam penjagaan paliatif biasanya termasuk doktor, jururawat, ahli farmasi dan pakar terapi kerja.  Penjagaan paliatif dapat juga dilakukan di rumah pesakit dengan bantuan pihak yang berkelulusan seperti jururawat dan pakar terapi. Bidang ini masih kurang mendapat perhatian di Malaysia, namun permintaan terhadapnya semakin meningkat. 

5. Pakar Terapi Urut Kesihatan
Rawatan yang melibatkan teknik mengurut bukanlah sesuatu yang baharu bagi masyarakat Malaysia yang sejak dahulu lagi gemar mendapatkan khidmat tukang urut untuk membantu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Kajian yang telah dijalankan berkaitan terapi urut membuktikan bahawa terapi seperti ini bukan sahaja mengurangkan tekanan atau stres tetapi juga membantu melegakan kesakitan yang berterusan akibat kecederaan tertentu. Dengan itu, terapi urut mengurangkan keperluan mengambil ubat tahan sakit, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit pada ubat tahan sakit.

Terapi urut kini digunakan dalam rawatan penyakit seperti kanser, kecederaan sukan, penyakit darah tinggi, artritis reumatoid dan bermacam-macam lagi penyakit yang lain. Pakar urut yang bertauliah dalam bidang urut kesihatan biasanya melakukan terapi mengikut saranan doktor yang merawat pesakit.

Bidang ini juga masih kurang mendapat perhatian di Malaysia dan masih terdapat banyak peluang bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang terapi ini.

Secara ringkasnya, sektor penjagaan kesihatan di Malaysia masih dalam peringkat perkembangan walaupun Malaysia telah diiktiraf oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang sesuai bagi semua golongan kerana memiliki sistem penjagaan kesihatan yang dapat dijadikan model oleh negara-negara membangun.

Semakin ramai wanita di Malaysia menceburi bidang keusahawanan terutamanya dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), namun jumlahnya masih lagi kecil berbanding bilangan usahawan lelaki. Menurut statistik, hanya satu daripada lima PKS dimiliki oleh wanita. Oleh itu, pelbagai bantuan dan program ditawarkan bagi menggalakkan lebih ramai wanita melibatkan diri dalam bidang keusahawanan. Namun demikian, memulakan sesebuah perniagaan bukan sesuatu yang mudah, terutamanya bagi wanita. Terdapat sepuluh perkara yang perlu usahawan wanita ketahui sebelum memulakan perniagaan, iaitu:

1. Rancangan perniagaan

Sebelum memulakan perniagaan, perkara pertama yang harus dilakukan terlebih dahulu ialah menyediakan rancangan peniagaan. Rancangan perniagaan sangat penting bagi perancangan jangka panjang serta sebagai panduan apabila anda mula tersasar daripada matlamat anda. Beberapa maklumat penting yang perlu ada dalam rancangan perniagaan ialah butiran produk, perancangan kewangan, teknik pemasaran, peranan media sosial dan media massa, dan pengiklanan. Anda mesti komited dengan perancangan yang telah ditetapkan. Kebanyakan perniagaan gagal kerana terlalu cepat menukar rancangan atau langsung tidak membuat perancangan. Ingat, gagal merancang bermaksud merancang untuk gagal.

2. Idea dan produk

Satu lagi perkara penting yang perlu anda lakukan adalah membuat kajian terlebih dahulu tentang produk anda. Tidak boleh semberono membuat keputusan untuk berniaga mengikut trend semasa. Misalnya, jika anda ingin menjual tas tangan, anda harus tahu jenama tas tangan yang dijual di Malaysia. Anda perlu juga tahu tentang syarikat tas tangan yang banyak sekali mencatat keuntungan, serta teknik atau kaedah syarikat tersebut gunakan sehingga mencatat untung yang banyak. Di samping itu, anda perlu tahu tentang permintaan produk dan pesaing yang ada di pasaran. Akan tetapi, jika anda mempunyai idea perniagaan tersendiri, pastikan berpegang teguh kepada idea itu dan jangan terlalu mudah menukar matlamat kerana hendak mengikut trend semasa atau kerana kritikan orang lain.

3. Kumpulan Sasaran

Setelah mendapatkan semua maklumat yang diperlukan dan jelas tentang produk yang ada, anda harus mengenal pasti kumpulan sasaran bagi produk anda. Ciri-ciri demografik seperti jantina, umur dan pendapatan bulanan memainkan peranan penting dalam menentukan kumpulan sasaran anda. Di samping itu, perlu juga mengambil kira bahawa citarasa penduduk bandar sering berbeza daripada citarasa penduduk luar bandar. Perbezaan ini berdasarkan faktor tertentu, termasuklah pendapatan bulanan. Oleh itu, jika misalnya anda ingin menjual tas tangan kulit haiwan yang direka dengan ciri-ciri elegan dan eksklusif, anda tidak harus beranggapan bahawa semua wanita akan membeli tas tangan seperti ini. Kemungkinan besar kumpulan sasaran yang paling tepat ialah wanita penduduk bandar yang bekerja pada pangkat eksekutif atau lebih tinggi lagi kerana harga tas tersebut semestinya agak mahal.

4. Bantuan Kewangan

Kerajaan sangat komited untuk membantu usawahan wanita mendapatkan bantuan kewangan. Terdapat pelbagai saluran yang boleh digunakan untuk memohon pinjaman seperti PUNB, Tekun Nasional, SME Bank, MARA,Teraju Bumiputera dan banyak lagi. Semua organisasi ini menawarkan pelbagai skim yang bersesuaian dengan keperluan perniagaan anda. Terdapat juga skim khas wanita bumiputera yang disediakan oleh organisasi lain.

5. Latihan dan Seminar

Sebelum membina atau mengembangkan perniagaan anda, disarankan mempelajari sedikit ilmu tentang perniagaan. Tanpa ilmu dan teknik perniagaan yang betul, anda tidak akan dapat memaksimumkan keuntungan yang diperolehi. Anda perlu kerap menghadiri program latihan dan seminar perniagaan jika ingin berjaya dalam perniagaan. Biasanya, pihak yang menawarkan bantuan kewangan juga menyediakan latihan dan seminar usahawan, terutama sekali bagi usahawan wanita. Sebagai contoh, organisasi lain telah menyediakan program khusus bagi wanita yang bertujuan untuk memperkasakan usahawan wanita. Program e-Usahawan pula merupakan salah satu inisiatif oleh kerajaan untuk menerapkan nilai dan ilmu perniagaan digital dalam kalangan usahawan. Menerusi Program e-Usahawan ini juga, anda berpeluang untuk meneroka perniagaan dalam talian yang dapat membantu anda untuk mengembangkan perniagaan melalui platform digital.

6. Pemasaran

Pemasaran merupakan perkara terpenting dalam menjalankan perniagaan. Kaedah atau platform pemasaran yang tepat dapat menjana keuntungan dan menstabilkan perniagaan anda. Menjual produk dalam talian, misalnya, membuka peluang kepada anda untuk memasuki pasaran global. Beberapa perkara yang harus diambil kira termasuklah:

· Harga – Kenal pasti harga yang pelanggan rasakan berbaloi bagi produk anda.

· Promosi – Kenal pasti platform pemasaran yang paling sesuai.

· Tempat – Pilih lokasi terbaik bagi menempatkan produk anda.

· Fizikal – Kenal pasti penampilan premis perniagaan yang sesuai untuk menarik pelanggan.

· Orang – Dapatkan individu yang sesuai untuk berurusan dengan pelanggan.

7. Rakan Kongsi Perniagaan

Semasa memulakan sesebuah perniagaan, anda memerlukan sekurang-kurangnya seorang rakan kongsi dalam perniagaan anda. Anda tidak mungkin dapat menguruskan semua perkara pada satu-satu masa. Justeru, perlu ada orang lain yang membantu anda dalam perniagaan. Pemilihan rakan kongsi yang betul dapat membantu kelangsungan perniagaan anda. Tidak mengapa jika rakan kongsi anda belum ada kemahiran yang mencukupi kerana boleh diberi latihan. Hal ini lebih baik daripada mengambil rakan kongsi yang mahir tetapi mementingkan diri atau tidak amanah, kerana sifat seperti itu akan mengancam perniagaan anda.

8. Fokus

Fokus amat penting dalam perniagaan kerana kejayaan hanya dapat dicapai sekiranya mempunyai fokus. Fokus tidak bermaksud anda harus mengabaikan tanggungjawab yang lain.

Memberikan fokus bermakna tidak menjalankan terlalu banyak perniagaan yang pelbagai pada satu-satu masa. Janganlah sampai “yang dikendong tidak dapat, yang dikejar berciciran.”

9. Pengurusan masa

Usahawan wanita juga perlu bijak menguruskan masa anda. Orang yang menguruskan masa dengan baik ialah orang yang menuju kejayaan. Anda perlu memperuntukkan masa untuk menguruskan perniagaan, serta untuk menguruskan keluarga dan rumah tangga. Belajarlah cara terbaik untuk merancang jadual anda bagi memastikan masa yang ada dihabiskan dengan lebih baik.

10. Sokongan moral

Walaupun setelah berjaya sebagai usahawan wanita, namun akan ada ketika anda berhadapan dengan pelbagai cabaran dan kritikan. Aura negatif sebegini akan menjadikan diri anda kurang bermotivasi, berputus asa atau tidak lagi berminat untuk meneruskan berniaga. Oleh itu, jagalah hubungan baik dengan ahli keluarga dan sahabat anda kerana mereka mampu memberikan sokongan moral kepada anda untuk terus melangkah ke hadapan.

Kesimpulan

Secara ringkasnya, walaupun wanita membentuk sebanyak 50 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, tetapi kurang daripada 20 peratus wanita terlibat dalam industri PKS. Disebabkan perkara ini, pihak kerajaan, swasta dan NGO sedang berusaha menambahkan bantuan bagi usahawan wanita supaya dapat menyejahterakan ekonomi keluarga, malah dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pelbagai program keusahawanan disediakan dengan tujuan meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan. Program seperti ini menyediakan latihan intensif kepada usahawan wanita tentang bidang keusahawanan, sokongan eksport dan bantuan kewangan.

Kesan daripada penularan wabak coronavirus (COVID-19), kebanyakan majikan mula mengadaptasi cara kerja norma baharu iaitu menggalakkan pekerja untuk bekerja dari rumah bagi meneruskan operasi perniagaan selain ingin memelihara kesihatan dan kesejahteraan bersama.

Namun, tahukah anda kelebihan dan kekurangan bekerja dari rumah?

Apakah inisiatif yang ditawarkan oleh PUNB untuk perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19?

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di laman sesawang kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada laman sesawang kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah laman sesawang kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke laman sesawang kami pada masa hadapan?