Kategori: Malay

RINAAT CANE – Rakan Usahawan PUNB

Graduan Institut Teknologi Mara (ITM), kini dikenali dengan nama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Hassan bin Shafee berpengalaman dalam sektor perhutanan sebelum menceburkan diri dalam bidang perniagaan miliknya, Rinaat Cane Sdn Bhd (RCSB). Pengasas RCSB ini mengakui, perjalanan bergelar seorang usahawan bukanlah sesuatu perkara yang mudah. Pelbagai cabaran yang perlu dilalui, antaranya apabila terpaksa berhadapan dengan risiko dalam mendapatkan bekalan rotan secara berterusan disebabkan oleh faktor cuaca yang tidak menentu selain kos pelaburan perusahaan rotan yang tinggi.

Hassan amat berbangga kerana perniagaan rotan yang diusahakan hampir tiga dekad itu telah menjadi salah satu pengeluar dan pengeksport perabot rotan terkemuka di negara ini. RCSB telah menghasilkan pelbagai jenis produk rotan dan juga bahan rotan mentah (jenis Manau dan Mantang) selain berpengalaman dalam mengeksport produk rotan ke beberapa negara di Timur Tengah, Eropah dan juga benua Amerika.

Pengasas Rinaat Cane Sdn Bhd, Hassan bin Shafee bersama isteri.

Hassan yang juga Pengerusi RCSB berkata, kini rotan bukan sahaja terhad kepada pembuatan perabot semata-mata, malah pembuatan rotan kini digunakan dalam pelbagai sektor antaranya sukan dan rekreasi serta pelancongan. Dalam sektor pelancongan misalnya, pembuatan rotan memainkan peranan penting dalam pembuatan produk anyaman. Manakala dalam sektor sukan dan rekreasi pula, rotan digunakan untuk menghasilkan busur bagi sukan memanah tradisional. Ini kerana sifatnya yang ringan, mudah lentur dan tahan lasak.

Diminta mengulas mengenai pemantauan dan pengawalan kualiti produk syarikatnya, Hassan menjelaskan bahawa RCSB telah spesifikasi rotan yang perlu dipatuhi dalam memastikan kualiti rotan tersebut sebelum ia dipasarkan.

Koleksi rotan keluaran Rinaat Cane Sdn Bhd.

Manakala dari segi penghasilan sesuatu produk rotan, ia perlulah seiring dengan kehendak pasaran dan juga pelanggan. Sehubungan itu, Hassan telah menggunakan pengalaman  yang ditimba ketika  menyertai ekspo serta lawatan kilang perabot di luar negara bagi menjana idea untuk menghasilkan produk baharu.

“Rotan merupakan produk  malar hijau yang mempunyai peminat tersendiri. Rotan yang menjadi pilihan dan sering mendapat sambutan daripada para pelanggan, tlebih-lebih lagi pengumpul rotan adalah jenis Manau kerana ia merupakan spesies rotan berdiameter besar dan amat penting sebagai bahan mentah dalam industri perabot,” jelasnya.

Tambah beliau, rotan masih menjadi pilihan pada masa kini dan ia kekal relevan di pasaran. Ini terbukti apabila RCSB telah menghasilkan lebih daripada 150 reka bentuk unik untuk perabot dalaman dan luaran sehingga hari ini.

Antara set perabot ruang tamu yang terdapat di Rinaat Cane.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Hassan menyasarkan untuk memperluas dan memperkukuhkan lagi pemasaran produk keluaran RCSB melalui platform media sosial  memandangkan syarikatnya merupakan ahli e-dagang Alibaba yang terawal di Malaysia sejak 2007. Menurut Hassan, kaedah sedemikian mampu membuka ruang kepada RCSB untuk berinteraksi secara terus dengan para pelanggan dan juga peminat rotan.

Nasihat Hassan untuk mereka yang hendak menceburi bidang perniagaan khususnya bidang  yang beliau ceburi, dapatkan ilmu perniagaan terlebih dahulu dan ketahui produk apa yang ingin dipasarkan. Apa yang penting, sentiasa bersabar kerana tiada jalan pintas untuk berjaya.

Pejam celik pejam celik, sudah empat bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan. Sepanjang PKP juga, ramai yang hilang pekerjaan akibat daripada ekonomi yang merudum.

Namun, disebalik  musibah menimpa, ada yang bijak mengambil peluang untuk menjana pendapatan walaupun dalam jangka masa pendek ini. Jika perniagaan mendapat sambutan, sudah semestinya ia dapat menjadi lubuk ‘emas’ kepada anda dalam memastikan kelangsungan pendapatan untuk diri dan keluarga.

Perniagaan digital (e-dagang) merancakkan lagi persaingan di kalangan peniaga.

Kini terdapat pelbagai jenis perniagaan yang mudah dan senang diuruskan walaupun hanya dari rumah. Antaranya adalah makanan dan minuman di mana penghantaran boleh dilakukan sendiri atau boleh juga menggunakan perkhidmatan penghantar makanan berdaftar.

Ditambah pula dengan perubahan landskap perniagaan secara tradisional  ke digital (e-dagang) merancakkan lagi persaingan dikalangan peniaga sedia ada mahupun baharu bagi memastikan  perniagaan terus ‘hidup’. Antara perniagaan yang menjadi pilihan orang ramai di musim PKP ini adalah:

  • Makanan dan minuman
  • Topeng muka (sebagai agen penjual)
  • Servis penghantaran
  • Bekalan barang basah
  • Perkhidmatan membaiki peralatan elektrik
  • Cecair pembasmi kuman tangan(sebagai agen penjual)
Permintaan terhadap servis penghantaran yang semakin meningkat.

Dengan perniagaan e-dagang, para peniaga boleh mempromosi perniagaan mereka dan juga kemahiran yang dimiliki. Dalam perspektif lain, ia mampu membuka peluang kepada masyarakat untuk menjana pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup. Gunakanlah peluang yang ada dengan bijak!

RADZUAN RADZIWILL SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Jika bercuti di Pulau Langkawi, pasti ramai sudah mengenali Kunang Kunang Heritage Villas yang terletak di Kampung Gelam, Pantai Cenang. Namun, tidak ramai yang mengenali pengusaha di sebalik tempat penginapan berkonsepkan rumah tradisional Melayu ini. Merupakan seorang figura yang sangat terkenal dalam dunia fesyen, Datuk Radzuan Radzi atau lebih dikenali sebagai Datuk Radzuan Radziwill merupakan pemilik kepada villa-villa tersergam indah yang dikelola di bawah syarikat miliknya, Radzuan Radziwill Sdn Bhd.

Lokasinya yang strategik telah menjadikan tempat penginapan ini pilihan utama para pelancong apabila ke pulau lagenda itu. Berbanding pusat penginapan lain, Kunang Kunang Heritage Villas menawarkan suasana dan konsep yang unik dengan budaya dan tradisi Melayu serta pemandangan indah. Konsep ini pasti menarik minat mereka yang mementingkan ketenangan, jauh dari hiruk pikuk bandar.

Villa yang berkonsepkan tradisi Melayu.

Antara tarikan lain yang menjadi tumpuan adalah sajian masakan Melayu Perak, negeri kelahiran Datuk Radzuan serta beberapa pilihan makanan Barat bagi pelancong yang tidak biasa dengan rasa makanan tempatan.

“Niat untuk membuka perniagaan sendiri bermula sejak dahulu lagi. Ketika itu, saya sudah mula mengumpul sedikit demi sedikit barangan tradisional lama Melayu yang sesuai dengan konsep penginapan impian saya menggunakan hasil simpanan sendiri,” jelasnya.

“Namun untuk menyediakan kemudahan yang unik seperti ini bukanlah mudah. Cabarannya adalah untuk memulihara dan memelihara rumah tradisional Melayu yang kebanyakan daripada binaannya berusia lebih daripada 100 tahun.

“Struktur rumah-rumah penginapan di Kunang Kunang merupakan struktur asal rumah tradisional Melayu masyarakat negeri Perak dan Kedah termasuklah rumah asal penduduk di Pulau Langkawi. Saya bertemu dan membeli sendiri struktur rumah-rumah ini daripada pemilik asal,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, untuk melaksanakan projek ini secara besar-besaran, sejumlah modal besar diperlukan. Disebabkan itu, Datuk Radzuan telah memohon pembiayaan perniagaan daripada PUNB. Bantuan dan sokongan perniagaan yang ditawarkan oleh PUNB telah membuka ruang kepada Datuk Radzuan untuk meneruskan cita-citanya dan pada November 2017, Kunang Kunang Heritage Villas telah berjaya dibuka. Sambutan yang diterima di awal pembukaan amat menggalakkan baik daripada pelancong dalam mahupun luar Negara.

Bagi Datuk Radzuan, beliau percaya, para pelancong yang menginap di sini rata-ratanya kagum dengan konsep ini dan ia menjadi satu tarikan istimewa selain dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Kejayaan beliau pada hari ini membuktikan bahawa dengan kreativiti dan kebijaksanaan mencari kelebihan serta merebut peluang yang ada mampu melonjakkan perniagaan yang diusahakan. Tiada kejayaan tanpa usaha dan kesungguhan bahkan jatuh ba¬ngun dalam perniagaan pasti menjadi asam garam buat seseorang usahawan dalam meniti cabaran yang mendatang.

ESTETIKA MEDISPA – Rakan Usahawan PUNB

Wanita sememangnya sinonim dengan kecantikan. Malah, kini lelaki juga turut menjaga keterampilan agar kelihatan kemas dan menarik. Namun, adakah mencukupi dengan menjaga wajah saja? Adakah perlu juga menjalani rawatan terutama bagi yang ingin sentiasa kelihatan muda? Pelbagai servis rawatan kecantikan semakin banyak ditawarkan di pasaran dan pemilihan menggunakan perkhidmatan spa merupakan salah satu alternatif untuk menghilangkan tekanan melalui kaedah rawatan dan urutan kerana ia dapat meredakan ketegangan urat dan wajah juga akan kembali segar.

Bagi Abdul Haq bin Ab Wasa, pengasas Estetika Medispa, idea untuk menubuhkan spa ini timbul apabila melihat pasaran spa yang sangat meluas di sekitar tahun 2015. Hasil daripada itu, beliau telah membuka pusat rawatan dan kecantikan berstatus spa perubatan wajah yang mula beroperasi sejak 5 tahun lalu pada Ogos 2015.

Melihat kepada industri kecantikan yang berkembang pesat, beliau semakin fokus menceburi bidang ini demi membantu orang ramai yang mempunyai masalah kulit wajah seperti jerawat, jeragat, kulit kusam dan sebagainya. Tidak hanya menyediakan rawatan kulit, Estetika Medispa turut mengeluarkan produk jenama sendiri iaitu Mesoceutical yang membawa maksud perantaraan kulit selain memberi khidmat nasihat untuk pelangsingan badan pada mereka yang memerlukan.

Sudah pasti Estetika Medispa memiliki keistimewaan yang tersendiri di mana pihaknya optimis menawarkan konsultasi wajah yang dilakukan menggunakan Face Analyser khas secara percuma bagi mengenal pasti masalah pada kulit. Setelah itu, para pelanggan akan diberi rawatan khusus secara intensif. Spa ini turut menawarkan beberapa pakej berpatutan serendah RM50 hingga RM3,000 dan ia bergantung kepada masalah kulit yang dialami oleh pelanggan itu sendiri. Di antara rawatan yang disediakan ialah Dermo Expert, Diamond Glow, Estetika PDRN Skin, OMEGA Rejuvenation Light, K-Light Whitening Pro dan beberapa lagi rawatan terapi.

Apabila ditanya mengenai mobil spa atau spa bergerak yang kini semakin tular, Abdul Haq sama sekali tidak bersetuju dengan konsep sedemikian. Ini kerana baginya, walaupun mobil spa menawarkan perkhidmatan terus ke rumah atau di lokasi pilihan pelanggan dengan hanya perlu membuat temu janji, para pelanggan yang berkunjung ke spa sebenarnya mahukan pengalaman dan suasana ketika berada di spa yang tidak dapat dirasai jika menggunakan khidmat mobil spa. Beliau turut menjelaskan, sebenarnya, terapi di spa hanya sebahagian daripada proses pembaikan kulit wajah. Peranan yang lebih besar ialah penjagaan kulit wajah ketika berada di rumah. Oleh itu, pelanggan perlu memiliki set penjagaan kulit wajah dan kosmetik yang baik tanpa mengandungi bahan-bahan terlarang. Penghasilan penjagaan kulit wajah daripada Estetika Medispa adalah berasaskan bahan-bahan premium yang selamat dan berkesan untuk digunakan.

Selain itu, teknik pemasaran juga memainkan peranan penting. Spa kecantikan ini mengggunakan teknik pemasaran kos rendah namun mempunyai impak yang besar iaitu melalui media sosial seperti Facebook Ads. Pemilihan teknik ini sebagai medium pemasaran adalah kerana pasaran globalnya yang sangat luas, tertumpu berdasarkan demografik data, mudah viral dan kos pengiklanan yang lebih murah.

Abdul Haq yang memiliki latar belakang pendidikan perubatan dari Universiti Alexandria, Mesir ini mengakui setiap perniagaan tidak dapat lari daripada masalah. Pihak Estetika Medispa pernah berhadapan dengan masalah aliran tunai yang menyukarkan spa ini untuk terus berkembang. Walau bagaimanapun, dengan bantuan pembiayaan daripada PUNB, Abdul Haq telah berjaya melebarkan sayap perniagaannya. Baginya, perniagaan ini sentiasa mendapat tempat walaupun dalam ekonomi yang tidak menentu kerana masalah kulit wajah bukanlah masalah bermusim memandangkan ia telah wujud sejak dulu, apatah lagi dengan keadaan iklim negara Asia yang lembab dan panas sepanjang tahun.

“Ilmu dan pengalaman adalah senjata utama untuk berjaya,” Abdul Haq bin AB Wasa.

Tekad Abdul Haq, pihak Estetika Medispa akan sentiasa berinovasi dan memperbaharui teknologi serta rawatan seiring dengan peredaran zaman agar ia kekal relevan. Permintaan dalam pasaran akan sentiasa ada dan akan terus meningkat termasuklah persaingan dalam bidang ini. Justeru, penambahbaikan dari segi teknologi dan perkhidmatan amatlah penting agar Estetika Medispa akan terus kekal berdaya tahan dan berdaya saing.

Musim PKPB ini, ramai peniaga telah mula beralih kepada perniagaan secara atas talian sebagai medium untuk promosi dan menjual produk serta perkhidmatan ditawarkan. Walau bagaimanapun, pernahkah anda kekurangan idea setiap kali memikirkan kandungan yang ingin dimuat naik di platform media sosial perniagaan anda?

Bagi peniaga yang mempunyai pekerja khusus mungkin tidak terlalu pening, akan tetapi bagaimana dengan usahawan yang bergerak secara sendirian? Pasti tidak menang tangan.

Ini mungkin boleh membantu anda!

Pertama

Tukar kandungan video anda kepada teks pendek dan infografik serta sebaliknya. Jika sebelum ini anda pernah muat naik video tentang produk dan perkhidmatan, anda boleh guna semula skrip video untuk dijadikan sebuah ‘posting’ baharu dalam bentuk yang lain serta vice versa. Ini secara tidak langsung, anda telah menghasilkan beberapa kandungan yang berbeza daripada satu idea atau topik untuk media sosial anda. Lakukan secara konsisten bagi idea dan topik yang lain.


Antara reka bentuk infografik yang dapat digunakan untuk rujukan aliran kerja, rajah, laporan tahunan dan reka bentuk web.

Kedua

Setelah memuat naik, anda harus mempunyai aplikasi atau sistem statistik seperti Google Analytic atau Shield sebagai panduan bagi mengetahui topik, jenis dan kandungan apa yang mendapat ‘viewers’ dan ‘hits’ paling banyak. Untuk data yang stabil, anda boleh mengumpul statistik terbaik bagi tempoh 30 sehingga 60 hari.

Ini secara tidak langsung menjadikan anda seorang ‘pendengar’ yang baik kepada para pengikut media sosial dan kemahuan pelanggan kerana anda tahu apa yang mereka harapkan daripada ‘posting’ anda. Lagipun, semua ini bertujuan untuk menjana keuntungan juga.

Antara contoh
Google Analytic atau Shield yang digunakan sebagai panduan.

Ketiga

Kandungan yang berkesan dan mendapat perhatian ini memudahkan anda sebagai penunjuk arah kepada idea pemasaran yang seterusnya. Anda tidak lagi perlu pecah kepala memikirkan idea-idea berlainan setiap kali ingin membuat promosi jualan di media sosial. Setiap kandungan yang berjaya boleh diekstrak untuk dijadikan 5 atau lebih kandungan baharu dan bersedia dimuat naik.

Salah satunya adalah idea bagi kandungan pemasaran.

Jadi, bayangkan daripada 1 idea ataupun topik,anda telah mereka cipta banyak kandungan yang berbeza.

Mudahkan?

Kenapa memilih menjadi seorang usahawan ATAU memulakan perniagaan sendiri ATAU menjadi bos sendiri?

Usahawan adalah sebuah gaya hidup di mana seseorang itu mengawal sendiri segala aspek kerjaya dan kehidupan peribadinya selain berani mengambil dan menanggung setiap risiko daripada keputusan yang dibuat.

Bergelar usahawan mempunyai cabaran dan ‘pengembaraan’ tersendiri berbanding mereka yang hanya bekerja dengan menerima gaji harian, mingguan mahupun bulanan. Perjalanan inilah yang menjadikan seseorang itu teruja untuk ceburi bidang perniagaan ini.

Cuba anda bayangkan, berada dalam sebuah kereta tetapi anda tidak dapat mengawal langsung kenderaan tersebut? Tidakkah pada suatu masa nanti anda akan mula berasa bosan dan stres apabila tidak mampu mengawalnya sendiri?

INILAH personaliti seorang USAHAWAN! Beliau ingin ‘take matters in their own hands’ dan menjadi pengemudi.

Seorang USAHAWAN adalah:

Pencipta

Pembangun; dan

Pereka cipta…

dalam kehidupannya, secara tidak langsung menjadi sumber keperluan kepada masyarakat dengan menyediakan penyelesaian kepada setiap masalah dihadapi selain mampu menjana peluang pekerjaan dan pendapatan serta mampu memberi motivasi bagi mereka yang turut ingin berjaya.

Tidak dinafikan, perjalanan seorang usahawan kadang kala ada naik dan turunnya. Itu adalah asam garam kehidupan bagi sesiapa sahaja.

Akan tetapi, situasi dan cabaran inilah yang menjadikan usahawan itu menjadi lebih kuat baik secara mental mahupun fizikal serta bersemangat untuk hadapi segala halangan dalam kerjaya dan kehidupan.

Tiada buku ataupun formula spesifik yang boleh dijadikan panduan dan petunjuk dalam bergelar usahawan. Bak kata pepatah, pengalaman adalah guru terbaik dalam kehidupan.

Aspek paling penting sebagai usahawan adalah belajar untuk tahu apa yang tiada, fikirkan penyelesaian sehabis mungkin setiap situasi dan mencipta atau mengeluarkan sesuatu produk atau perkhidmatan yang lebih baik dari sebelumnya.

#mindsetkeusahawanan

YOUR DIY PROJECT SUPPLIES – Rakan Usahawan PUNB

Tidak pernah menyangka akan bergelar seorang usahawan, Raja Juliza Raja Soid menceritakan detik permulaan beliau terlibat dalam bidang perniagaan ini.  “Masih segar di ingatan saya pada 2012 di mana ketika itu saya ingin melangsungkan majlis pertunangan.  Disebabkan peruntukan kewangan yang amat terhad, saya mengambil keputusan untuk melakukan persiapan majlis menggunakan kreativiti sendiri dengan menyewa barangan perhiasan majlis.  Hasil kejayaan dan kemeriahan majlis tersebut, saya mula memuat naik beberapa gambar untuk tatapan umum di blog peribadi.  Siapa sangka melalui perkongsian tersebut, ia telah menarik minat beberapa rakan blog untuk turut menyewa barangan majlis yang dipaparkan,” jelas pengasas Your DIY Project Supplies (Your DIY) ini.

Your DIY menyewakan barangan untuk pelbagai majlis.

Melihat kepada minat orang ramai, tercetusnya idea dan kesedaran untuk mewujudkan sebuah perniagaan yang berkonsepkan sewaan barangan keperluan majlis seperti yang dikenali pada hari ini.  Tujuan asal penubuhan Your DIY adalah untuk membantu dan memberi alternatif kepada pasangan pengantin membuat persiapan untuk majlis perkahwinan.  Namun, disebabkan oleh sambutan yang memberangsangkan, Juliza memutuskan untuk menyewakan kelengkapan barangan dan perkakas perhiasan bagi majlis-majlis keraian lain seperti sambutan hari jadi, majlis makan malam, majlis cukur jambul atau berendoi dan apa jua jenis majlis sambutan yang berkaitan.  Kesemua barangan tersebut disewakan dengan kadar yang berpatutan selain tawaran barangan perhiasan yang sentiasa dikemas kini mengikut trend dan gaya majlis terkini.

“Hakikatnya, bukan mudah untuk menjalankan perniagaan sebegini lebih-lebih lagi apabila terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah pelanggan.  Ada di antara pelanggan yang inginkan barang sewaan terbaik dengan kadar sewaan yang murah.  Malah, ada juga yang gagal mematuhi terma penyewaan terutama semasa memulangkan barangan dan perkakas sewaan dalam keadaan yang baik.

“Oleh kerana Your DIY tidak mengenakan caj pendahuluan kepada para pelanggan yang menyewa barangan kami, maka kami terpaksa memperbaiki atau mengganti barang yang telah dirosakkan.  Inilah antara cabaran utama Your DIY dalam menguruskan perniagaan kerana kami sentiasa komited dan mengambil sepenuh tanggungjawab bagi menyediakan barang sewaan seperti yang ditempah oleh pelanggan walaupun adakalanya terpaksa menanggung kos kerugian tambahan,” tambah Juliza.

Antara koleksi pelamin hasil sewaan Your DIY.

Dalam perniagaan pasti ada jatuh bangun dalam meniti setiap halangan yang mendatang. Walaubagaimanapun, buat usahawan wanita ini tiada kejayaan tanpa usaha dan kesungguhan.  Beliau juga tidak terlepas daripada berhadapan dengan pelbagai cabaran terutama dari segi pasaran dan persaingan semasa.  “Your DIY terpaksa berhadapan dengan kemunculan pembekal-pembekal baharu yang menawarkan harga sewaan jauh lebih murah daripada harga pasaran.  Kesan ini sedikit sebanyak mengganggu perjalanan perniagaan kami dan juga peniaga lain yang sedia ada.  Bagi mengatasi masalah ini, kami sentiasa berusaha untuk menjadi lebih kreatif dalam menjana dan memperkenalkan idea serta konsep-konsep baharu sebagai pilihan kepada para pelanggan,” ulas beliau.

Your DIY juga turut mempunyai perancangan tersendiri untuk terus kekal relevan dalam industri. Bagi Juliza, apa yang penting dalam perniagaan adalah komunikasi.  Your DIY sentiasa menjaga hubungan baik dengan pelanggan seperti mendapatkan maklum balas atau cadangan penambahbaikan agar perkhidmatan yang diberikan sentiasa mendapat perhatian dan memenuhi keperluan serta kehendak pelanggan pada masa akan datang.

Bagi Juliza, tiada kejayaan yang datang bergolek, semua itu menagihkan pengorbanan dan usaha gigih yang jarang diketahui atau dilihat oleh orang lain.  “Ini kerana bidang perniagaan adalah suatu bidang yang berisiko tinggi. Jika anda bercita-cita untuk bergelar seorang usahawan, anda perlulah bersedia dari pelbagai aspek.  Anda harus memiliki tahap kesabaran yang tinggi, sifat daya tahan dan juga ‘always think one step ahead’ dalam merangka serta mencari penyelesaian bagi setiap halangan yang mendatang,” akhiri beliau.

5 Tips untuk bergelar usahawan daripada Raja Juliza:

  • Ketahui minat dan bakat yang ada dalam diri anda.
  • Elakkan diri menjalankan perniagaan berdasarkan trend semasa.
  • Perancangan teliti adalah perlu dalam setiap perniagaan.
  • Cuba kenalpasti identiti perniagaan yang menjadi signature atau trademark yang membezakan kita dengan orang lain.
  • Cabar diri untuk sentiasa jadi lebih baik dari sebelumnya.

Penglibatan wanita dalam dunia keusahawanan bukanlah perkara asing lagi. Kerajaan serta pelbagai pihak termasuklah PUNB telah melaksanakan pelbagai inisiatif dalam usaha memartabatkan usahawan wanita selain membantu mereka menghadapi cabaran menguruskan perniagaan.  Tetapi, benarkah wanita menghadapi cabaran yang lebih tinggi apabila menceburi bidang ini?  Jom ikuti pengalaman 2 usahawan wanita dalam menempuh cabaran dunia perniagaan!

Nadhlia Nina binti Junus, Ainnor Marketing Sdn Bhd – Spa, Produk Kecantikan dan Penjagaan Ibu Selepas Bersalin EMBAH

“Kewujudan jenama EMBAH adalah hasil pemerhatian serta pengalaman saya dan rakan kongsi, Rosliza Rahman sepanjang menjalankan perkhidmatan spa kecantikan dan penjagaan ibu selepas bersalin.  Kami akui kejayaan dan kegagalan merupakan lumrah dalam perniagaan.

Selain perkhidmatan spa dan penjagaan selepas bersalin, EMBAH turut menawarkan penjualan produk posnatum yang sejujurnya tidak terlepas daripada berhadapan dengan cabaran, lebih-lebih lagi apabila pelanggan inginkan produk yang dibeli, sampai dengan kadar segera.  Menangani masalah ini, EMBAH mengambil inisiatif mewujudkan sebuah modul perniagaan yang diberi nama #embahheritage, iaitu mengadakan stokis, agen dan pesan hantar (dropship) di setiap daerah serta kawasan.  Secara tidak langsung modul ini membantu memberi maklum balas segera kepada pelanggan di samping menaik taraf pendapatan isi rumah kepada mereka yang berminat menjadi ejen/stokis produk Embah.

EMBAH menawarkan perkhidmatan spa dan penjagaan selepas bersalin.

EMBAH juga turut menghadapi cabaran dalam pemasaran dan persaingan semasa seperti persamaan produk jualan dan juga tawaran harga pesaing yang lebih rendah.  Walau bagaimanapun, EMBAH percaya, dengan melalui proses teliti dalam menghasilkan kesemua produk yang dijamin berkualiti, mampu menarik dan mengekalkan kesetiaan pelanggan, sesuai dengan harga yang ditawarkan.

Dalam bidang perniagaan, kita harus sentiasa bersedia dengan apa jua kemungkinan.  Apa yang penting adalah menerapkan sikap professionalisme yang tinggi untuk terus berdaya tahan dan berdaya saing dalam dunia perniagaan.  Tambahan pula, persaingan  dikalangan usahawan khususnya wanita amat sengit memandangkan bidang kecantikan dan kesihatan ini amat sinonim dengan naluri mereka.  Ini menunjukkan suatu perkembangan yang baik sekaligus membuktikan bahawa wanita kini lebih agresif, bermotivasi dan mampu berdikari demi memajukan diri.”

Muzdalifah Mohamad Mustapha, Iffah DW Enterprise – Daging Hitam Palembang

“Walaupun baru setahun jagung menceburkan diri dalam bidang perniagaan, tidak dinafikan ia satu kejutan budaya buat saya.  Namun, berkat sokongan dan tunjuk ajar suami untuk berhadapan dengan pelbagai situasi perniagaan, kini saya lebih cekap menghadapi setiap cabaran.

Daging Hitam Palembang juga tidak lari daripada berhadapan dengan cabaran dari segi pasaran dan persaingan semasa.  Di Malaysia, bukan hanya kami yang menjual produk daging hitam.  Apa yang membezakan produk kami dengan produk yang terdapat di pasaran selain daripada jenamanya adalah resepi rahsia daging hitam yang digunakan adalah mengikut citarasa asal dari daerah tersebut yang dijamin mampu menarik perhatian para pelanggan yang menikmatinya.  Inilah keistimewaan Daging Hitam Palembang.

Iffah DW Enterprise perkenal produk Daging Hitam Palembang.

Saya sentiasa berusaha dalam menaik taraf jenama produk kami agar lebih dikenali dan menjadi pilihan orang ramai sekaligus mampu mengurangkan persaingan jualan daging hitam yang sedia ada di pasaran.  Tidak dinafikan, ilmu dan kemahiran harus senantiasa ditingkatkan agar saya dapat menjadi seorang usahawan yang lebih baik.  Sasaran Iffah DW Enterprise adalah supaya produk Daging Hitam Palembang ini dapat dipasarkan bukan sahaja di Malaysia malah juga seluruh dunia. Insha Allah.”

We Value Your Feedback!

    Question 1

    Overall Experience:

    How would you rate your overall experience on our website?

    Question 2

    Finding Information:

    How easy was it to find the information you were looking for?

    Question 3

    Helpful Section:

    Which part of our website was the most helpful for you?

    Question 4

    Website Expectations:

    Did our website meet your expectations?

    Question 5

    Likelihood to Return:

    How likely are you to return to our website in the future?