Kategori: Malay

COVID-19 mula memberi impak kepada semua lapisan masyarakat khususnya para peniaga. Ada peniaga yang terpaksa menutup perniagaan dan ada juga yang cuba mengekalkan perniagaan walaupun lebih banyak mengalami kerugian berbanding keuntungan. Antara yang terkesan adalah dua usahawan muda wanita iaitu Nik Ili Khairunnisa binti Nik Razali, pemilik Bulan Madu Boutique dan Noraidila binti Misrun, pemilik Dila Catering & Canopy yang boleh dijadikan sebagai inspirasi. Jom ikuti pengalaman mereka ‘berperang’ untuk meneruskan kelangsungan perniagaan sepanjang COVID-19.

S        :          Ceritakan bagaimana anda boleh menceburkan diri dalam bidang perniagaan?

Ili      :         Ia bermula pada 2012 apabila saya mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan mengikut suami pulang ke kampung halaman. Pada saat itu, tercetus idea untuk memulakan perniagaan secara dalam talian. Minat yang mendalam terhadap fesyen telah mendorong saya untuk menghasilkan tudung shawl custome made dengan jahitan tangan. Saya mula menjual pada rakan-rakan di media sosial. Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat memberangsangkan di mana jualan syarikat mencecah ribuan ringgit dalam masa yang singkat bagi tahun pertama beroperasi.

Kemudian, saya membuat percubaan dengan memasarkan pakaian ready to wear untuk mempelbagaikan koleksi sedia ada di mana harga yang ditawarkan adalah bermula daripada RM59 sehingga RM129. Pada 2013 pula, saya tampil lebih berani untuk mengembangkan lagi perniagaan dengan menyewa sebuah premis untuk membuka home boutique.

Ekoran sambutan yang menggalakkan, dua tahun kemudian, saya mengambil keputusan untuk berpindah ke butik dengan ruangan lebih besar di lokasi yang lebih strategik.

Pemilik Bulan Madu Boutique, Nik Ili Khairunnisa binti Nik Razali.

Aidila  :         Saya menceburi bidang ini sejak 2018 apabila mula bekerjasama dengan syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengurusan majlis perkahwinan. Sejak itu, saya mula merangka perancangan untuk memperluaskan skop pemasaran dengan menyediakan tempat khas bagi menjalankan majlis perkahwinan dengan menawarkan pakej lengkap berkonsepkan ‘Wedding Ballroom’. Dengan Pakej Cuci Tangan Perkahwinan ini, para pelanggan mempunyai dua pilihan harga iaitu RM17,500 (300 tetamu) dan RM18,000 (500 tetamu).

Bukan mudah untuk berada di mana kami berada sekarang kerana kami mengambil masa hampir setahun untuk mengatur strategi bagi melaksanakan pakej eksklusif ini. Akhirnya, De Daisy Wedding Grand Ballroom berjaya dirasmikan pada Oktober 2019 berlokasi di Hotel Summit Signature, Menara Up, Taman OUG, Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur.

Bukti penat lelah Noraidila binti Misrun, pemilik Dila Catering & Canopy adalah dengan kewujudan De Daisy Wedding Grand Ballroom.

S          :           Kongsikan pandangan/perancangan perniagaan ketika berdepan situasi getir seperti ancaman pandemik COVID-19 ini? 

Ili        :         Pada pandangan saya, perancangan untuk menghadapi situasi COVID-19 bagi perniagaan seperti ini adalah saya lebih memberi fokus kepada strategi pemasaran secara berterusan dan juga konsisten. Selain itu, setiap majikan perlu meningkatkan kemahiran kepimpinan untuk memastikan pasukan bergerak seiring kerana setiap kerja akan dilakukan di rumah.

Aidila :          Dalam situasi kekangan pandemik COVID-19 ini, tidak dapat dinafikan kami juga terkesan dengan pergerakan yang sangat terhad. Demi kelangsungan perniagaan, kami memikirkan jalan penyelesaian terbaik iaitu dengan menawarkan studio photoshoot dengan pakej termurah bagi bakal pengantin yang telah menjalani proses pernikahan di pejabat agama.

S        :        Dengan keadaan ekonomi semasa dan COVID-19 sekarang, bagaimana anda memastikan pendapatan dapat terus dijana?       

Ili        :        Ingin saya kongsikan tip bagi semua peniaga khususnya yang menjalankan perniagaan seperti saya, anda harus mempunyai perniagaan sandaran yang dilakukan secara kecil-kecilan dan bukan hanya tertumpu kepada satu perniagaan sahaja. Selain itu, anda harus memantapkan perniagaan sedia ada dengan idea-idea yang lebih bernas sebagai persediaan jika berlaku sesuatu perkara di luar jangkaan.

Antara koleksi yang terdapat di
Bulan Madu Boutique.

Aidila :         Bagi saya, saya berpegang kepada peribahasa Melayu iaitu di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Tidak kira sekecil mana pakej itu, kami tetap akan tawarkan di mana ia secara tidak langsung boleh menjana pendapatan untuk mengekalkan perniagaan yang sedia ada. Ini kerana saya beranggapan pandemik ini bukanlah halangan untuk mematahkan
semangat kami.

Antara hiasan pelamin yang dihasilkan di
De Daisy Wedding Grand Ballroom.

S          :        Apakah tindakan yang dapat anda lakukan untuk terus berdaya saing dalam senario masa depan yang berbeza?

Ili        :        Saya akan lebih fokus untuk mengembangkan perniagaan ke seluruh Malaysia secara dalam talian selain mempertingkatkan sentuhan peribadi dalam setiap pakaian yang dikeluarkan dalam memastikan kesetiaan dan kepercayaan pelanggan kekal serta berterusan.

Malah, saya juga akan berusaha untuk menimba lebih banyak ilmu bagi menambah baik kualiti perniagaan dan pada masa yang sama saya akan memastikan perniagaan yang dijalankan mempunyai nilai dan tarikan tersendiri.

Aidila :         Dengan norma baharu ini, saya berpegang kepada peribahasa Melayu iaitu di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Saya kinimemikirkan pelbagai idea untuk menyediakan pakej lengkap dengan harga berpatutan yang meliputi semua aspek.

Pemberian lanjutan moratarium adalah untuk membantu usahawan kekal berdaya tahan dan berdaya saing ketika pandemik COVID-19 masih menular di negara ini.

Malah PUNB turut memberi diskaun 50 peratus ke atas sewa premis perniagaan miliknya selama enam bulan berkuat kuasa 1 Januari lalu hingga 30 Jun depan.

Pelanggan adalah nadi kepada sesebuah perniagaan. Sebagai pelanggan, mereka sentiasa inginkan perkhidmatan yang terbaik walaupun adakalanya permintaan mereka sukar untuk dipenuhi.

Pelanggan percaya yang ‘Customer Is Always Right’, tidak kira dalam apa jua situasi. Namun, prinsip ini bukanlah tiket kepada mereka untuk memberi arahan sesuka hati. Hubungan dua hala yang paling berkesan adalah apabila terdapat ‘win-win situation’ di mana ia memberi keuntungan dan rasa puas hati kepada kedua-dua belah pihak.

Jadi, sejauh manakah frasa ‘Customer Is Always Right’ ini boleh diguna pakai?

Sebenarnya, pelanggan adalah betul sekiranya pelanggan mengetahui dan memahami peraturan, polisi, cara kerja penyedia perkhidmatan, jenis perkhidmatan ditawarkan dan batasan permintaan terhadap sesuatu produk atau perkhidmatan.

Pelanggan anda bukanlah pakar. Siapa yang lebih tahu tentang produk dan perkhidmatan kalau bukan anda dan pekerja anda sendiri?

Dalam perniagaan, anda pasti akan bertemu dengan pelanggan yang merasakan mereka lebih pakar daripada anda. Pelanggan hanya tahu apa yang mereka mahu tetapi tidak bermakna mereka pakar dalam hal berkenaan. Jika pakar, tidak mungkin mereka bertemu dan menggunakan perkhidmatan anda.

Disinilah pentingnya untuk anda memiliki piagam pelanggan. Apa itu?

Secara ringkasnya, piagam pelanggan adalah sebuah komitmen bertulis sesebuah organisasi/syarikat terhadap penyampaian keluaran atau perkhidmatan yang ditawarkan. Ia juga adalah sebuah jaminan dalam memastikan setiap perkhidmatan mengikut standard kualiti yang telah ditetapkan serta memenuhi kemahuan dan citarasa pelanggan.

Piagam pelanggan juga menerangkan kepada pelanggan jenis perkhidmatan dan hak yang diperolehi mereka. piagam ini haruslah jelas, senang disebar, kebolehpercayaan, praktikal, khusus dan boleh ditambah baik.

Antara contoh piagam pelanggan boleh didapati di pautan portal rasmi PUNB berikut:
https://www.punb.com.my/ms/piagam-perkhidmatan

Bergantung kepada industri dan sektor perniagaan anda, agak ‘bahaya’ jika anda membenarkan pelanggan anda fikir mereka sentiasa betul. Penyelesaian terbaik adalah dengan menunjukkan kepada mereka anda arif tentang produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Walau bagaimanapun, jangan melayan mereka dengan cara yang kurang menyenangkan tetapi dengan cara yang membantu mereka memenuhi permintaan diinginkan. Bantu mereka untuk memahami cara terbaik untuk mengguna pakai produk dan perkhidmatan anda sebaik mungkin. Ini boleh mengelakkan anda dari menjadi ‘gila’ dengan pelanggan anda, malah pelanggan anda juga akan gembira dengan perkhidmatan yang anda tawarkan.

Yang paling penting, jangan sesekali merungut dengan permintaan pelanggan dan sentiasa beringat untuk melayan pelanggan anda seolah-olah dialah pelanggan terakhir dalam menentukan kelangsungan syarikat anda. Siapa tahu kan,jika pelanggan puas hati, dia akan cerita pula pada orang lain. Cantikkan kalau dapat ‘marketing’ percuma begitu?

Pekerja atau kakitangan adalah tulang belakang sesebuah organisasi. Pekerja yang menghasilkan kerja yang berkualiti menentukan pencapaian misi dan visi sesebuah organisasi.

Jangan terkejut, satu fakta menerusi sebuah kajian oleh Taleo Research (2009) mengatakan, pekerja yang setia akan menjana sehingga satu pertiga hasil pendapatan organisasi! Tapi, bagaimanakah caranya bagi memastikan seseorang pekerja itu setia kepada sesebuah organisasi? Berikut adalah 5 tip yang dapat mengekalkan kesetiaan pekerja:

Tempat Kerja Yang Menarik

Wujudkan sebuah tempat kerja yang menarik dan menyeronokkan untuk kakitangan anda. Sediakan pelbagai kemudahan seperti ruang rehat dan santai, bilik perbincangan dan surau yang selesa. Jangan lupa, sediakan juga kemudahan seperti mesin layan diri yang menjual minuman dan makanan ringan.

Mewujudkan suasana bekerja seperti di rumah sendiri (work like at home) merupakan suatu inisiatif yang dapat meningkatkan kesetiaan pekerja kepada organisasi. Suasana seperti ini dapat mengurangkan tekanan. Bekerja tanpa kawalan dan peraturan yang ketat juga dapat memberi kepuasan kepada pekerja dalam melakukan tugasnya dengan sepenuh hati.

Komunikasi Yang Baik

Sesebuah organisasi akan beroperasi dengan lebih cekap jika pekerja tiada halangan berkomunikasi antara satu sama lain. Masalah komunikasi biasanya terjadi akibat perbezaan pendapat dengan rakan sekerja atau hubungan yang tidak baik antara pengurus dan pekerja. Bekerjasama, berbincang, bertukar pendapat, sedia menerima teguran dan hormat-menghormati ialah contoh amalan komunikasi yang baik.

Sebagai majikan, anda perlu membina hubungan yang sihat dengan pekerja dan tidak hanya mengeluarkan arahan semata-mata Berikan pekerja anda peluang untuk mengetengahkan pandangan, pendapat dan idea kreatif mereka. Salah satu langkah bijak untuk menggalakkan pekerja menyalurkan pendapat dan idea ialah dengan menyediakan peti cadangan di ruangan pejabat anda.

Kepercayaan

Bukan mudah mewujudkan rasa saling percaya dalam kalangan pekerja. Salah satu cara adalah dengan memperbanyakkan program pembinaan pasukan atau team building. Program sebegini dapat menanam semangat kekitaan dalam diri pekerja seterusnya meningkatkan kebolehan pekerja untuk bekerja secara berkumpulan serta meningkatkan kebersediaan mereka untuk saling membantu.

Latihan dan Pendidikan

Kebanyakan pekerja menyertai sesebuah organisasi bukan sekadar untuk mendapat gaji tetapi juga untuk membina kerjaya. Oleh itu, sebagai majikan, anda harus menyediakan program latihan dan peluang pendidikan bagi pekerja yang berhasrat untuk meningkatkan prestasi diri baik dari segi kerjaya mahupun tahap pendidikan mereka.

Salah satu cara untuk mewujudkan kesetiaan dalam kalangan pekerja adalah dengan menawarkan pembiayaan pendidikan atau biasiswa. Inisiatif ini akan memberikan peluang kepada pekerja yang inginkan kemajuan secara peribadi selain menunjukkan tanda sokongan majikan terhadap pekerjanya untuk terus berjaya.

Ganjaran atau Penghargaan

Memberi ganjaran atau penghargaan kepada pekerja yang berprestasi cemerlang dapat meningkatkan lagi motivasi mereka untuk bekerja dengan lebih gigih dan bersemangat. Ganjaran yang diberikan tidak semestinya dalam bentuk kewangan sahaja. Anugerah kakitangan cemerlang atau jamuan makan tengah hari merupakan suatu ganjaran yang amat dihargai oleh pekerja disamping kenaikan pangkat bagi mereka yang layak. Penghargaan yang diterima ini secara tidak langsung memberi galakan dan meningkatkan kesetiaan pekerja.

Jadi, sebagai majikan, anda haruslah menghargai dan menjaga kebajikan pekerja kerana mereka adalah aset paling berharga yang menjamin masa depan organisasi. Berikan sokongan dan galakan sewajarnya terhadap pekerja anda. Lagipun, pekerja hanyalah manusia biasa. Take care of their emotions, they will take care of you.

Credit image: Freepik

BABYMAMA TRADING SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Jenama Tateh tidak lagi asing di kalangan pasangan suami isteri yang ingin mencari keperluan barangan penjagaan ibu dan bayi. Selain barangan kelengkapan bayi, Butik Tateh yang diuruskan oleh Babymama Trading Sdn Bhd ini turut mementingkan penjagaan kesihatan ibu sepanjang proses berpantang.  

Jom ikuti soal jawab bersama pengasasnya, Siti Shafurah Abas tentang pengalaman beliau menguruskan jenama pilihan ibu bapa ini.

S: Apakah perbezaan Tateh berbanding jenama-jenama lain?

J: Tateh menawarkan produk-produk barangan keperluan penjagaan bayi dan juga bagi ibu yang sedang berpantang. Apabila para pelanggan berkunjung ke butik Tateh, mereka bukan sahaja boleh mendapatkan barangan, malah turut dibekalkan dengan ilmu tentang penjagaan bayi, cara penyusuan  serta kaedah berpantang yang betul daripada kakitangan kami yang terlatih dan berpengalaman terutama bagi pasangan yang sedang membuat persiapan terakhir.

Inilah keistimewaan Tateh.

Setsuri – set berpantang yang boleh didapati di butik Tateh

S: Bagaimana Tateh menjaga hubungan dengan pelanggan?
J:
Matlamat utama Tateh adalah memastikan pelanggan mendapat barangan yang diperlukan dan berpuas hati dengan perkhidmatan yang ditawarkan. Ini kerana Tateh tidak hanya mahu menjadi penjual barangan keperluan bayi sahaja sebaliknya menjadi tempat rujukan bagi pasangan ibu bapa yang menyambut kelahiran cahaya mata. Disebabkan ini, setiap tenaga kerja kami mendapat latihan dan pemantauan berterusan supaya pelanggan kekal setia dan percaya dengan Tateh.

S: Apakah motivasi yang mendorong anda dalam memimpin Tateh?
J:
Sebagai seorang usahawan dan juga ibu kepada empat orang anak, saya berasa amat berpuas hati apabila dapat memberi jalan penyelesaian kepada mereka yang mempunyai sebarang kemusykilan terutama dalam penjagaan bayi dan sepanjang proses berpantang. Ini kerana, seperti para ibu lain, saya juga mahukan yang terbaik khususnya perkara melibatkan penjagaan diri dan anak.

Jika dahulu, tidak banyak pusat atau tempat rujukan penjagaan bayi selain daripada hospital dan klinik. Oleh sebab itu, saya mengambil inisiatif ini untuk mewujudkan Tateh. Pengalaman ini menjadi pemangkin inspirasi dalam terus membawa jenama Tateh ke tahap yang lebih tinggi.

S: Menjejak 2020 ini, apakah pendekatan baharu yang telah dirancang untuk Tateh?

J: Dalam usaha bagi memastikan Tateh kekal sebagai pilihan utama, kami akan sentiasa mempertingkatkan promosi dan strategi pemasaran agar Tateh akan lebih dikenali. Salah satu caranya adalah dengan menghasil dan menjual produk-produk berdasarkan permintaan dan keperluan pelanggan. Disinilah pentingnya mengekalkan hubungan yang baik dengan pelanggan kerana mereka merupakan faktor utama kejayaan sesebuah perniagaan.

Selain itu, kami juga sentiasa membuat persediaan dalam memperkemaskan lagi ilmu-ilmu berkaitan penjagaan bayi dan berpantang agar dapat memberikan perkhidmatan terbaik untuk para pelanggan kami.

Tateh juga akan mempergiatkan lagi kempen-kempen kesedaran dan maklumat keselamatan penjagaan anak, contohnya kepentingan penggunaan Child Restraint System (CRS) atau kerusi keselamatan kanak-kanak seperti yang diwajibkan oleh pihak Kerajaan.

S: Di mana anda melihat Tateh untuk 5 tahun yang akan datang?
J:
 Kami merancang untuk memperkembangkan lagi sayap perniagaan Tateh daripada 18 cawangan kepada 25 cawangan dalam jangka masa 5 tahun akan datang. Pada masa yang sama, kami memastikan setiap cawangan Tateh dapat mencatatkan keuntungan yang memberangsangkan melebihi daripada sasaran yang telah ditetapkan. 

Selain itu, kami juga merancang untuk menambah baik program pembangunan warga kerja Tateh melalui pemahaman dan peningkatan ilmu khususnya tentang produk dan servis perkhidmatan ditawarkan bagi memastikan para pelanggan Tateh berpuas hati.

Antara produk lain yang ditawarkan oleh butik Tateh

S: Apakah nasihat anda kepada mereka yang ingin dan telah menjadi usahawan?

J: Secara peribadi, seorang usahawan itu tidak boleh mempunyai sikap suka bertangguh dalam melakukan sesuatu perkara, baik dalam perniagaan mahupun kehidupan peribadi. Sikap ini bakal merugikan bukan sahaja masa malah wang dan tenaga. Harus mempunyai semangat mahu maju ke hadapan dan sentiasa berfikir serta bertindak satu langkah ke hadapan daripada orang lain dan jangan pernah putus asa. Tetapkan matlamat dan sasaran yang boleh diukur dan ada garis masa yang jelas. Sekiranya matlamat ini tercapai lebih awal, jangan terlalu selesa dan tetapkan matlamat baru yang lebih besar. 

Ekoran penularan pandemik COVID-19, Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menawarkan pembiayaan antara RM50,000 hingga RM100,000 di bawah Skim Pembiayaan Usahawan Terkesan COVID-19 (SPUR). Ia bertujuan untuk membantu individu Bumiputera menceburi bidang perniagaan.

Majlis Ramah Mesra bersama Pengerusi PUNB telah diadakan pada 1 Mei 2021 bertempat di Sungai Terap, Tanjung Karang, Selangor. Sumbangan kepada anak yatim dan ibu tunggal turut disampaikan oleh Pengerusi PUNB, Tan Sri Noh Omar.

Jelas beliau, sumbangan yang diberikan bukan sahaja daripada PUNB, malah daripada tokoh korporat dan juga yayasan. Majoriti penerima ini terdiri daripada golongan B40 yang dipilih secara adil dan saksama.

Kita selalu diberi gambaran bahawa negara luar seperti Amerika dan Jerman menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang lebih baik. Namun demikian, tanpa kita sedari, sebenarnya Malaysia telah diiktiraf menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik di dunia.

Jurnal Pelancongan Perubatan Antarabangsa (International Medical Travel Journal, IMTJ) telah menobatkan Malaysia sebagai negara destinasi pelancongan kesihatan dan perubatan terbaik  dari 2015 sehingga 2017. Malaysia juga menerima anugerah yang sama bagi gugusan terbaik (cluster of the year) pada 2018. Di samping itu, Indeks Persaraan Global Tahunan kelolaan majalah International Living juga mengiktiraf Malaysia sebagai negara yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan terbaik di dunia dari 2015 hingga 2017, dan sekali lagi  pada 2019.  Lantaran itu, Malaysia dikenali di seluruh dunia sebagai negara yang menawarkan penjagaan kesihatan bertaraf tinggi dan berkualiti.

Orang ramai biasanya hanya mengenali para doktor, jururawat dan pembantu perubatan yang memberikan rawatan kepada pesakit. Namun demikian, tunjang utama sesebuah organisasi pengurusan penjagaan kesihatan ialah sistem sokongannya iaitu memastikan institusi penjagaan kesihatan diurus dan ditakbir dengan baik.

Perbezaan antara Pentadbiran Penjagaan Kesihatan dan Pengurusan Penjagaan Kesihatan
Istilah “pengurusan penjagaan kesihatan” dan “pentadbiran penjagaan kesihatan” sering kali disalahgunakan, dan orang ramai selalunya menganggap kedua-dua istilah ini  membawa erti kata yang sama, sedangkan maknanya agak berbeza.

Pentadbiran penjagaan kesihatan hanya menguruskan kakitangan dan pekerja sahaja. Sebagai contoh, pentadbir penjagaan kesihatan biasanya bertanggungjawab mengupah kakitangan untuk jabatan tertentu. Selain itu, pentadbir penjagaan kesihatan akan menentukan jalan terbaik untuk membantu kakitangan supaya lebih cekap dalam menjalankan tugas mereka, dan lebih memahami jenis rawatan yang ditawarkan oleh pusat kesihatan kepada pesakit. Pengurusan penjagaan kesihatan melibatkan penyediaan perkhidmatan kesihatan, seperti perkhidmatan kesihatan kecemasan, rehabilitasi dan penjagaan paliatif. Individu yang terlibat dalam perkhidmatan seperti ini memainkan peranan penting dalam penjagaan kesihatan. Walaupun mereka ini mungkin tidak melakukan pembedahan atau memberi ubat kepada pesakit tetapi mereka masih terlibat dengan rawatan pesakit secara langsung.

Pentadbiran dan pengurusan penjagaan kesihatan penting dalam sistem penjagaan kesihatan, namun bidang ini masih kurang mendapat perhatian. Sebenarnya, bidang ini banyak menyediakan peluang pekerjaan dan peluang perniagaan baharu kerana masih berada di peringkat awal perkembangannya di Malaysia. Berikut ialah senarai beberapa jawatan dan peluang perniagaan berkaitan yang boleh diceburi:

1. Pentadbir Pejabat Perubatan
Tanggungjawab pentadbir pejabat perubatan termasuk memastikan urusan perkhidmatan penjagaan kesihatan berjalan dengan lancar. Pentadbir pejabat bukan sahaja menjawab telefon tetapi mengendalikan kontrak, menghubungi syarikat insuran, serta mengurus dan membayar upah pekerja.

2. Pembantu Eksekutif Perubatan
Pembantu Eksekutif Perubatan  membantu para doktor dengan melakukan tugas pentadbiran tahap tinggi tertentu. Tugas ini termasuklah membantu doktor meninjau semula dokumen dan laporan kesihatan pesakit, menjalankan kajian tertentu, mencatat rencana dan menjadualkan temu janji.

3. Juruteknik dan Pengurus Maklumat Kesihatan
Juruteknik Maklumat Kesihatan bekerja bawah kelolaan Pengurus Maklumat Kesihatan dan bertanggungjawab menguruskan dan menyimpan semua rekod perubatan pesakit. Juruteknik ini juga perlu memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan berterusan berkaitan perisian komputer dan amalan keselamatan serta kerahsiaan maklumat pesakit. Tugas Pengurus Maklumat Kesihatan termasuklah merangka polisi untuk mengakses dan mengemas kini rekod perubatan pesakit supaya maklumat peribadi pesakit sentiasa terlindung.

Memandangkan Malaysia akan melaksanakan sepenuhnya rekod kesihatan secara elektronik (EMR system) pada tahun ini, jawatan Juruteknik Maklumat Kesihatan akan sangat diperlukan dalam pengurusan organisasi penjagaan kesihatan, sama ada di hospital kerajaan  mahupun hospital swasta.

4. Penjagaan Paliatif
Penjagaan paliatif ialah rawatan untuk menangani gejala fizikal, emosi dan psikologi yang biasanya melanda pesakit yang menghidap penyakit serius. Rawatan bagi penyakit serius tidak semestinya bertujuan menyembuhkan penyakit atau melanjutkan usia pesakit tetapi bertujuan memaksimumkan mutu hidup pesakit. Penjagaan paliatif bertujuan membantu pesakit menangani tekanan hidup yang mereka alami akibat menghidap penyakit serius,  atau membantu mereka menghadapi rawatan agresif yang mungkin terpaksa mereka lalui.

Pihak yang terlibat dalam penjagaan paliatif biasanya termasuk doktor, jururawat, ahli farmasi dan pakar terapi kerja.  Penjagaan paliatif dapat juga dilakukan di rumah pesakit dengan bantuan pihak yang berkelulusan seperti jururawat dan pakar terapi. Bidang ini masih kurang mendapat perhatian di Malaysia, namun permintaan terhadapnya semakin meningkat. 

5. Pakar Terapi Urut Kesihatan
Rawatan yang melibatkan teknik mengurut bukanlah sesuatu yang baharu bagi masyarakat Malaysia yang sejak dahulu lagi gemar mendapatkan khidmat tukang urut untuk membantu menyembuhkan pelbagai jenis penyakit. Kajian yang telah dijalankan berkaitan terapi urut membuktikan bahawa terapi seperti ini bukan sahaja mengurangkan tekanan atau stres tetapi juga membantu melegakan kesakitan yang berterusan akibat kecederaan tertentu. Dengan itu, terapi urut mengurangkan keperluan mengambil ubat tahan sakit, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit pada ubat tahan sakit.

Terapi urut kini digunakan dalam rawatan penyakit seperti kanser, kecederaan sukan, penyakit darah tinggi, artritis reumatoid dan bermacam-macam lagi penyakit yang lain. Pakar urut yang bertauliah dalam bidang urut kesihatan biasanya melakukan terapi mengikut saranan doktor yang merawat pesakit.

Bidang ini juga masih kurang mendapat perhatian di Malaysia dan masih terdapat banyak peluang bagi sesiapa yang ingin menceburi bidang terapi ini.

Secara ringkasnya, sektor penjagaan kesihatan di Malaysia masih dalam peringkat perkembangan walaupun Malaysia telah diiktiraf oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) sebagai destinasi penjagaan kesihatan yang sesuai bagi semua golongan kerana memiliki sistem penjagaan kesihatan yang dapat dijadikan model oleh negara-negara membangun.

FAST BIKES SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Fast Bikes bukan lagi nama asing dalam dunia pengedaran motosikal berkuasa tinggi jenama Triumph di Malaysia. Sebagai pengedar tunggal produk keluaran United Kingdom itu, Fast Bikes telah mengembangkan perniagaan di dua negeri iaitu Sabah dan Pulau Pinang.

Keupayaan Ketua Pegawai Eksekutif Fast Bikes Sdn Bhd, Dato’ Razak Al Malique bin Hussain membawa masuk jenama antarabangsa ini ke Malaysia telah memecah tradisi perniagaan motosikal berkuasa tinggi yang selama ini dimonopoli oleh golongan bukan Bumiputera.

Menurut beliau, sambutan menggalakkan yang diterima daripada para penunggang motosikal tegar di Negara ini menjadi satu suntikan semangat kepada dirinya untuk terus berusaha meluaskan lagi pengedaran motosikal Triumph yang bercirikan reka bentuk klasik dan moden di pasaran Malaysia.

Di awal penglibatannya pada 2010, Dato’ Razak merupakan seorang penjual motosikal jenama Triumph yang menjalankan operasi perniagaan di sebuah lot rumah kedai yang terletak di Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Pada ketika itu, sasaran jualan untuk sebulan hanyalah sebanyak dua hingga tiga buah motosikal sahaja.

Namun, setelah tiga tahun beroperasi, syarikatnya berjaya meraih peningkatan jualan yang memberangsangkan. Menyedari akan kehebatan dan potensi jenama motosikal ini di pasaran, beliau mula memasang cita-cita untuk mengembangkan perniagaan dengan menjadi francaisor utama Triumph di Malaysia.

“Sehingga kini, Fast Bikes telah berjaya meluaskan perniagaannya dengan membuka peluang kepada tiga pengedar motosikal di Pulau Pinang, Johor dan Sarawak,” katanya.

Untuk perkembangan terkini, Fast Bikes telah memperkenalkan rangkaian klasik moden Triumph 2019 apabila melancarkan lima model baharu untuk pasaran tempatan. Model baharu itu terdiri daripada Street Twin, Street Scrambler, Scrambler XC, Scrambler XE dan Speed Twin.

Mengulas tentang cerita disebalik kejayaan syarikat, pelbagai cabaran yang telah ditempuhi oleh Dato’ Razak antaranya apabila beliau terpaksa melalui proses yang agak rumit dalam permohonan perjanjian francais bersama syarikat induk Triumph di UK untuk memberi peluang kepada beliau membuka francais motosikal Triumph di Malaysia.

Namun begitu, kerumitan tersebut langsung tidak mematahkan semangatnya untuk terus berusaha. Dengan bantuan daripada seorang rakan, beliau akhirnya berjaya menghubungi pihak pengurusan tertinggi Triumph bagi membentangkan rancangan perniagaan beliau.

Walaupun proses perjanjian mengambil masa hampir dua tahun, namun, Alhamdulillah, berkat usaha gigihnya, Triumph akhirnya meluluskan permohonan tersebut dan memberikan kepercayaan kepada Dato’ Razak untuk membuka francais jenama motosikal itu di Malaysia.

Bantuan pembiayaan daripada PUNB juga tiba pada masa yang sangat tepat. Suntikan modal yang diterima pada 2013 itu telah digunakan untuk memulakan operasi perniagaan francais tersebut.

Dato’ Razak menitip nasihat kepada para usahawan muda yang ingin mengorak langkah dalam dunia perniagaan supaya tidak menjadikan faktor wang ringgit sebagai pendorong utama untuk maju ke hadapan. Sebaliknya, beliau menekankan sifat keikhlasan dalam perniagaan dan usaha yang berterusan adalah tunjang utama kejayaan sesebuah perniagaan agar lebih diberkati oleh Allah S.W.T.

“Kami turut mempunyai perancangan untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara dan pernah mendapat tawaran ke China, Singapura dan Brunei, namun masih belum bersedia buat masa ini,” Siti Aishah, Pengarah Urusan Kumpulan Ayaq World.

Kami Menghargai Maklum Balas Anda!

    Soalan 1

    Pengalaman Keseluruhan:

    Bagaimanakah anda menilai pengalaman keseluruhan anda di laman sesawang kami?

    Soalan 2

    Pencarian Maklumat:

    Adakah mudah untuk mencari maklumat yang anda cari?

    Soalan 3

    Bahagian Bantuan:

    Bahagian mana pada laman sesawang kami yang paling membantu anda?

    Soalan 4

    Jangkaan Laman Sesawang:

    Adakah laman sesawang kami memenuhi jangkaan anda?

    Soalan 5

    Kebarangkalian untuk Kembali:

    Adakah anda akan kembali ke laman sesawang kami pada masa hadapan?