Apakah
yang dimaksudkan dengan keusahawanan? Keusahawanan adalah mengatur dan
menjalankan perusahaan perniagaan untuk mendapatkan keuntungan. Bagaimana pula
dengan keusahawanan sosial? Secara amnya, keusahawanan sosial merupakan satu
bidang penting yang berperanan sebagai pemberi dana atau penggubal dasar
perniagaan untuk menangani cabaran sosial.
Selain itu, keusahawanan sosial juga turut
menjadi platform untuk memacu transformasi
sosial dan mewujudkan masyarakat yang lebih seimbang bagi mencipta pelbagai
peluang pekerjaan. Ini kerana keusahawanan
sosial tidak mementingkan keuntungan tetapi ia merupakan keperluan masa kini dalam menangani masalah sosial.
Jika anda ingin melibatkan diri dalam
keusahawanan sosial, anda perlu mempunyai matlamat yang jelas untuk dijadikan
sebagai hala tuju bagi sesebuah perusahaan atau organisasi sosial yang anda
jalankan. Oleh itu, anda perlu memiliki kriteria-kriteria berikut:
Idea
Sebagaimana yang kita tahu, fasa
keusahawanan sosial merupakan satu pendekatan yang amat bersesuaian dengan
keperluan perniagaan dunia masa kini. Oleh itu, kemampanan idea daripada
usahawan adalah penting di mana idea perniagaan tersebut perlulah dikenal pasti
terlebih dahulu sebelum ia direalisasikan berdasarkan keadaan sosial
sekeliling.
Misi
Misi keusahawanan sosial adalah penting bagi menangani pengurusan institusi
sektor sosial yang tidak bertanggungjawab dan tidak cekap. Oleh itu, usahawan
harus memiliki minat yang tinggi dalam keusahawanan sosial agar sesuatu isu
dapat diselesaikan sehingga misi tercapai.
Dana
Bagi melaksanakan matlamat sosial atau alam sekitar, kewangan yang kukuh adalah
perkara penting dalam keusahawanan sosial. Ini kerana matlamat sosial alam
sekitar yang dilaksanakan dapat menjana pendapatan dan dalam masa yang sama ia
dapat meraih keuntungan.
Sebagai contoh, dengan adanya dana
daripada organisasi bukan kerajaan (NGO), penglibatan dalam keusahawanan sosial
boleh membantu mereka dengan cara tertentu dan mempertingkatkan taraf kehidupan
bagi mereka yang kurang berkemampuan.
Program Taklimat PUNB bersama Usahawan Segamat pada 14 Februari 2022 di Hotel VIP, Segamat yang dirasmikan oleh YBrs Tuan Haji Anuar Abd Manap, Pengerusi Yayasan Muafakat. Turut hadir YB Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris, Pengerusi PUNB dan Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB.PUNB turut memberi bantuan Kembali ke Sekolah kepada anak yatim dan sumbangan tunai kepada keluarga yang memerlukan.
Berbekalkan pengalaman berniaga jus mangga di pasar malam secara sambilan dengan modal permulaan sebanyak RM500, Siti Aisyah Kamaruddin berjaya membuktikan bahawa dengan usaha yang gigih, beliau mampu mengecapi kejayaan apabila kini bergelar Pengarah Urusan Kumpulan Ayaq World, sebuah jenama pengeluar minuman buah-buahan yang menjadi pilihan ramai.
Aisyah mula menceburi bidang perniagaan pada 2011 dengan berniaga jus mangga di tapaktapak bazar jualan sekitar Kuala Lumpur. Jelas wanita lulusan bidang perakaunan ini, beliau bersyukur apabila jualan jus mangganya saban hari mendapat sambutan menggalakkan dan dari situ tercetus idea untuk menghasilkan jus mangga botol berbanding sebelum ini yang hanya dibungkus dalam plastik. Idea dan inovasi yang dipraktikkan ini dan ditambah pula sokongan dari suami dan ahli keluarga, ia menaikkan lagi semangat beliau untuk terus mengembangkan perniagaan ke peringkat yang lebih tinggi. Akhirnya, pada 2014, Siti Aisyah telah menubuhkan syarikat Ayaq Mangga yang menjual produk jus mangga segar dan asli.
Dalam kejayaan, pasti ada cabaran dan Siti Aisyah tidak terkecuali. Masih segar diingatannya apabila jus mangga yang dihasilkan telah rosak disebabkan masalah peti sejuk penyimpanan jus tidak dapat berfungsi dengan baik. Sungguhpun begitu, beliau tidak putus harapan dan menjadikan ia sebagai suatu pengajaran dan pengalaman untuk memastikan produk dihasil dapat dijaga dengan baik sehinggalah sampai ke tangan pelanggan.
“Bahkan, hari demi hari saya sentiasa bersemangat. Untuk mengekalkan kualiti produk perniagaan, saya perlu memastikan bekalan mangga yang diperoleh dari seluruh Malaysia dan Thailand segar serta berkualiti agar keenakan jus mangga tersebut dapat dikekalkan,” ujarnya.
Dengan permintaan yang kian meningkat daripada pelanggan, ia sekali gus telah menyuntik semangat Siti Aisyah untuk melangkah lebih jauh dalam mengembangkan jenama Ayaq Mangga. Pada 2017, beliau telah mengambil keputusan untuk menukar nama Ayaq Mangga kepada Ayaq World Sdn Bhd (AWSB). Ini kerana beliau tidak mahu perniagaannya hanya tertumpu kepada penjualan jus mangga semata-mata sebaliknya ingin dikenali sebagai pengeluar minuman jus dalam botol yang berasaskan buah-buahan sebenar. Kini, AWSB menawarkan 8 perisa jus berbeza selain mangga iaitu katira, mata kucing, jagung, durian belanda, teh hijau, nanas, limau nipis dan kedondong.
Penerima anugerah NONA Best Young Entrepreneur Award 2018 ini tidak pernah mendabik dada dengan kejayaan yang dimilikinya sekarang, malah beliau berusaha mencipta peluang perniagaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi agen jualan secara dalam dan luar talian bagi menambah pendapatan. Langkah ini secara tidak langsung dapat memperluaskan lagi pasaran minuman jus Ayaq World di seluruh Malaysia. “AWSB kini dalam perancangan memasuki pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura dan China,” akhiri beliau.
Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menawarkan pembiayaan kepada 271 usahawan khususnya kepada Rakan Usahawan PUNB yang terkesan akibat COVID-19 menerusi skim SUCCESS.
PUNB turut mengadakan sesi penyerahan replika cek kepada penerima pembiayaan SUCCESS PUNB, bantuan Kembali ke Sekolah kepada anak yatim, dan sumbangan tunai kepada keluarga yang memerlukan. Turut hadir YB Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris, Pengerusi PUNB dan Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB.
Program Taklimat PUNB bersama Usahawan Pontian pada 13 Februari 2022 di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Benut, Pontian yang dirasmikan oleh YB Datuk Seri Haji Ahmad Haji Maslan, Ahli Parlimen Pontian. Turut hadir YB Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris, Pengerusi PUNB dan Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB.PUNB turut mengadakan sesi penyerahan replika cek kepada penerima pembiayaan SUCCESS PUNB, bantuan Kembali ke Sekolah kepada anak yatim, dan sumbangan tunai kepada keluarga yang memerlukan.
Sempena sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini, ADFIM diwakili oleh Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB merangkap Pengerusi ADFIM, bersama Setiausaha Agung ADFIM, Tuan Ir. Haji Mohd Prasad Hanif telah meraikan seramai 40 warga emas dan orang kurang upaya di Rumah Orang Tua Weng Da, Seremban.Tujuan lawatan adalah untuk menyantuni penghuni Rumah Weng Da selain memberi sumbangan dan merapatkan hubungan silaturahim selari dengan semangat Keluarga Malaysia.
Siapa sangka idea untuk menceburi bidang perniagaan berasaskan susu tercetus apabila pemiliknya, Sofian bin Tajuddin mendapati ada dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya menyuarakan kesukaran untuk mendapatkan susu keluaran Muslim yang bersesuaian bagi golongan kanak-kanak. Bermula dari situ, bekas jurutera ini telah berusaha mencari kaedah dan formula susu terbaik untuk kanak-kanak. Ikuti temu bual bersama saudagar susu ini!
S: Ceritakan bagaimana
permulaan anda menceburi bidang perniagaan?
J: Sebelum saya menceburi bidang perniagaan, saya merupakan seorang jurutera
dalam
sektor perkilangan. Selepas lebih 18 tahun dalam bidang
kejuruteraan, pada 2009 saya bersikap
realistik dengan membuat keputusan nekad berhenti kerja atas
tiket Volutery Surrender Scheme (VSS) untuk menceburi bidang perniagaan.
Saya mencabar diri sendiri untuk mencuba
sesuatu yang baru iaitu perniagaan tenusu, yang mana saya telah dapati sukarnya
untuk mendapatkan susu kanak-kanak keluaran Muslim. Ini kerana saya percaya
bahawa perniagaan tenusu ini mampu
berkembang maju dan mendapat permintaan tinggi. Akan tetapi, nasib tidak menyebelahi
saya apabila perniagaan yang saya
telah jalankan berakhir dengan kegagalan selepas tiga tahun beroperasi.
Oleh yang demikian, pada 2012, saya telah memutuskan untuk bekerja ‘makan gaji’ semula sebagai seorang pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta. Di sinilah bermulanya langkah saya mempelajari tentang selok belok pemasaran, pembukaan pasaran baru dan teknik perniagaan. Segala ilmu yang diperolehi saya praktikkan sehinggalah tertubuhnya Suffy Dairy Group Sdn Bhd sehingga ke hari ini.
S: Kongsikan produk atau perkhidmatan yang SUFFY
tawarkan?
J: Di
Suffy Dairy Group, kami
mengeluarkan produk susu formula berasaskan susu kambing dan lembu untuk
kanak-kanak dan kini telah menambah produk tenusu, minuman tenaga dan coklat
malt untuk golongan dewasa dan warga emas juga. Semua produk keluaran muslim
Bumiputera di bawah jenama SUFFY dan mempunyai sijil HACPP dan halal Malaysia.
Antara produk yang ditawarkan oleh SUFFY adalah
BGenius (susu lembu untuk 1-3 tahun), Annis Nutritious (susu lembu untuk 1-3
tahun), Suffy Goat (susu kambing untuk 1-3 tahun), Pure Goat (susu kambing
untuk 1-3+ tahun), Suffy Activated (minuman protein yang diperkaya dengan
vitamin, mineral dan taurine untuk aktif bersukan) dan Fitt Up (serbuk minuman
berperisa coklat yang sesuai untuk semua lapisan umur).
Produk-produk ini boleh didapati secara dalam
talian di portal dan akaun rasmi Shopee SUFFY atau melalui ejen pengedar dan
pemborong di seluruh Malaysia.
S: Apakah keunikan produk
keluaran SUFFY?
J: Keunikan produk SUFFY adalah penggunaan formula tertentu bagi setiap produk keluarannya. Bagi susu BGenius (susu lembu untuk 1-3 tahun), ia diformulasi dengan B3 iaitu Brilliant (mengandungi DHA yang merupakan antara kompenen utama dalam otak untuk membantu perkembangan otak kanak-kanak), Boost (dirumus istimewa dengan Prebiotik dari FOS dan Manna untuk membantu meningkatkan sistem penghadaman si manja) dan Balance (membantu memenuhi keperluan nutrisi seimbang yang membantu si manja membesar dengan lebih baik). Susu ini juga mempunyai khasiat tambahan sebenar daripada buah kurma dan juga madu.
Manakala bagi SUFFY Goat yang merupakan susu kambing asli tanpa gula tambahan (sukrosa), ia diformulasikan dengan tambahan makanan-makanan sunnah dan berkhasiat seperti delima, madu, kurma dan kolagen rumpai laut. Ia mempunyai khasiat yang tinggi untuk membantu tumbesaran dan memperbaiki pelbagai masalah kesihatan.
Bagi SUFFY Annis Nutritious pula, ia mempunyai formulasi Tri-Guide yang mengandungi campuran bahan-bahan istimewa seperti DHA, Prebiotik dari FOS, L-Lysine dan rantaian sederhana Triglyceride@MCT untuk menyokong meningkatkan perkembangan kanak-kanak terutamanya yang mempunyai perut sensitif dan kurang selera makan.
S: Bagaimana SUFFY melihat
persaingan perniagaan pada hari ini?
J: Meskipun
terdapat persaingan yang sengit
dalam pasaran susu di Malaysia, saya melihat itu adalah sesuatu perkara yang
sihat. Kunci utama adalah SUFFY sentiasa mencipta inovasi untuk mempelbagaikan
lagi produk, mengekalkan kualiti yang terbaik untuk kepuasan pelanggan dan
penggunaan teknik pemasaran yang kreatif untuk menarik perhatian pelanggan.
Selain itu, SUFFY juga dalam usaha
melakukan penambahbaikan
promosi dan pemasaran di platform media sosial bagi meningkatkan keupayaan
penjualan yang lebih maksimum kerana kini boleh dikatakan semua orang mempunyai
akaun media sosial dan penggunanya adalah dari pelbagai peringkat umur serta
tanpa batas sempadan dan masa.
S: Apakah cabaran dan pencapaian terbesar
SUFFY?
J: Meskipun pelbagai cabaran perlu dilalui sebelum
mengecapi kejayaan, saya tidak pernah menyesal meneroka bidang yang dipilih. Antara cabaran terbesar dalam industri ini adalah pengawalan sumber dan harga bahan
mentah utama iaitu susu. Adakalanya pengimport susu kambing SUFFY dari Belanda dan susu lembu dari New Zealand tidak mempunyai bekalan
bahan mentah yang mencukupi dan kadar kenaikan harga yang tidak menentu.
Manakala cabaran lain adalah SUFFY terpaksa
berhenti mengeksport produk ke pasaran antarabangsa sejak penularan wabak
COVID-19. Mendalami proses mengeksport produk ke luar negara juga merupakan sebuah cabaran yang besar.
Sepanjang proses tersebut, banyak perkara yang perlu dipelajari dan difahami
sebelum produk dieksport ke sesebuah negara. Sebagai contoh, syarat kemasukan
produk, harga serta kajian pasaran dan citarasa penduduk di negara berkenaan.
Sememangnya bukan mudah untuk mengharungi
cabaran yang mendatang, namun kejayaan tidak datang bergolek. Semuanya
memerlukan usaha dan semangat yang jitu. Berkat kegigihan tersebut, SUFFY
pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Anugerah Digital Free Trade Zone (DFTZ)
sebagai pengeksport kali pertama dan tersenarai dalam buku Future of Asean,
50 Success stories of Digitalisation of Asean MSMEs pada 2018, Anugerah “Asean Business Award” (Digitalized MSME) 2019 di Bangkok yang merupakan satu-satunya wakil tunggal dari
Malaysia dan Anugerah LANG
INTERNATIONAL – Corporate Titan Awards 2020.
S: Nasihat atau kata-kata
semangat kepada orang ramai yang ingin memulakan perniagaan yang sama?
J: Untuk
memulakan perniagaan yang sama, pastikan anda benar-benar minat dengan apa yang
anda lakukan. Anda hendaklah melakukan kajian terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menceburi
bidang ini. Saya juga terbuka jika ada yang ingin
mendapatkan tunjuk ajar dan
nasihat bagi perniagaan seperti ini. Insha Allah.
Program Temu Bual & Lawatan Rasmi YB Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris, Pengerusi PUNB ke SelangorFM dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada hari ini.Turut hadir Encik Abdul Jammi Abdul Karim, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif dan Puan Farreza Buang, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat.
Majlis Apresiasi Usahawan Kumpulan Megaklinik Zahran (KMZ) yang berlangsung sebentar tadi dirasmikan oleh YB Tan Sri Noh Omar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi di Grand Hyatt Kuala Lumpur.Turut hadir adalah Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB.