Kategori: Malay

KAPTEN BATIK (M) SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Batik merupakan identiti warisan bangsa yang sinonim dengan negeri pantai timur di Malaysia, khususnya di Terengganu dan Kelantan. Secara umumnya, pemakaian batik telah menjadi sebahagian daripada budaya di Malaysia kerana ia sering dipakai dalam majlis-majlis rasmi dan keramaian.   Seiring peredaran zaman dan peralihan generasi, batik kini telah diperhalusi menjadi lebih moden bagi memenuhi cita rasa masyarakat semasa.

Kehadiran pereka fesyen duo iaitu Ekram Faiz dan Farhan Omar dalam memartabat warisan seni batik Malaysia ternyata berjaya menambat hati masyarakat dengan mengetengahkan corak dan rekaan moden yang eksklusif. Perjalanan mereka bermula apabila Kapten Batik ditubuhkan pada Mac 2017 dengan hasrat untuk menjadikan batik sebagai pakaian harian yang boleh digayakan pada bila-bila masa dan untuk pelbagai acara. Pengalaman bercuti ke beberapa negara telah memberi inspirasi untuk menghasilkan motif batik moden kontemporari yang kemudiannya diadaptasi pada fabrik mengikut potongan Tailored Fit, Custom Slim Fit dan Modern Fit, sesuai dengan cita rasa generasi muda sekali gus mampu menarik minat pelbagai masyarakat untuk menggayakannya.  

Kapten Batik tekad untuk mengubah tanggapan masyarakat, khususnya kaum lelaki, tentang pakaian batik yang tradisional ke premium dan moden eksklusif. Menurut Ekram, untuk memanifestasikan hasrat ini, Kapten Batik amat mementingkan kualiti setiap produk yang dihasilkan bermula dari pemilihan fabrik yang kebanyakan ditempah khas dari Indonesia dan India. Proses penghasilan rekaan yang teliti amat diutamakan bertepatan dengan harga jualan sasaran bermula dari RM100 sehingga RM700.

Sudah menjadi adat berniaga, pasti akan ada cabaran dan ujian yang perlu dilalui. “Cabaran dalam berniaga adalah lumrah dan Kapten Batik tidak terlepas daripadanya. Tatkala penularan pandemik Covid-19, Kapten Batik diuji apabila kerajaan mengisytiharkan perintah kawalan pergerakan dan semua perniagaan diarahkan tutup demi keselamatan masyarakat. Pada waktu itu kami telah menyiapkan koleksi lebaran tahun 2020.  Namun, di sebalik kesulitan itu merupakan satu titik tolak kepada Kapten Batik untuk berada dalam talian,” ujar Farhan.

Bagi memastikan koleksi tersebut terjual, Kapten Batik mula mempromosi secara dalam talian menerusi beberapa platform digital seperti laman rasmi syarikat, aplikasi WhatsApp, Facebook dan Instagram. “Nasib menyebelahi kami kerana kebetulan pada masa itu trend pembelian secara dalam talian mengalami peningkatan mendadak. Alhamdulillah, sejak itu jenama Kapten Batik semakin dikenali hinggakan ada yang mula menawarkan untuk menjadi ejen atau dropship. Namun begitu, kami sepakat untuk tidak menggunakan konsep tersebut kerana ingin mengukuhkan jenama Kapten Batik dalam kelas tersendiri. Meskipun demikian, Kapten Batik membuka peluang kepada usahawan yang berminat dalam perniagaan francais namun bergantung kepada pemilihan lokasi,” tambah Farhan.

Melihatkan kepada kejayaan yang dikecapi, sejak dari itu mereka memutuskan untuk lebih aktif mempromosi Kapten Batik secara dalam talian. Strategi lain yang dilakukan untuk mempromosi Kapten Batik adalah menyertai bazar hujung minggu di pusat membeli-belah yang melibatkan barisan selebriti tempatan.

Berbicara tentang perancangan masa hadapan pula, kedua-dua rakan kongsi ini ingin mensasarkan pembukaan tiga lagi cawangan Kapten Batik iaitu di KLIA pada penghujung Ogos, Tun Razak Exchange (TRX) dan Menara PNB 118 pada suku keempat tahun ini. Sehingga kini, Kapten Batik telah memiliki sebanyak tujuh kedai di pusat beli belah terkemuka Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Selain itu, Kapten Batik juga berhasrat untuk tembusi pasaran antarabangsa seperti Singapura dan London.

Bukan itu sahaja, Kapten Batik menetapkan untuk mengeluarkan tiga koleksi baharu setiap tahun iaitu pada Mac, Jun dan Julai, selain musim perayaan.  “Untuk tahun ini, Kapten Batik mendapat inspirasi menghasilkan rekaan daripada bangunan ikonik di Malaysia tetapi masih mengekalkan warisan batik itu sendiri,” jelas Farhan lagi.

Dalam pada itu, Ekram dan Farhan tidak lokek berkongsi tip kepada usahawan lain dengan menyatakan bahawa usahawan perlu lebih kreatif dan sentiasa memikirkan strategi bagi memajukan perniagaan. Selain itu, para usahawan perlu berani dan tahu saingan dalam pasaran untuk mencapai matlamat dalam perniagaan.

Sidang media Palace Butcher Resources Sdn Bhd bersama Serai Group Sdn Bhd mengenai pembukaan rasmi ‘Meet Bros Steakhouse’, London pada 17 April 2023 di Me’nate Centre of Training & Development, Setapak, Kuala Lumpur.

Restoran ‘Meet Bros Steakhouse’ merupakan gabungan dua jenama F&B bumiputera tersohor iaitu Me’nate Steak Hub dan Jibby & Co. Kerjasama ini adalah yang pertama seumpamanya dan merupakan pencapaian membanggakan buat kedua Rakan Usahawan PUNB. ‘Meet Bros Steakhouse’ akan beroperasi secara rasmi di Paddington pada 12 Mei 2023.

Turut hadir adalah Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB; Tuan Syed Ashraf Syed Ali, Pengarah Urusan Palace Butcher Resources Sdn Bhd; Encik Najib Hamid, Pengarah Urusan Serai Group Sdn Bhd serta wakil pengurusan.

YBhg Tan Sri Abdul Wahid Omar berkongsi pengalaman mengenai perjalanan karier beliau untuk dijadikan inspirasi kepada 20 peserta yang mengikuti program ‘PUNB Leadership Enhancement Acceleration Program’ (LEAP) pada 12 April 2023 di Dewan PUNB, Tingkat 9, Ibu Pejabat PUNB.

Objektif Program LEAP adalah untuk menyediakan peserta terlibat dalam perancangan penggantian kumpulan pengurusan di masa hadapan. Peserta program ini merupakan warga kerja PUNB terpilih yang dilihat berpotensi untuk menerajui kepimpinan PUNB.

Turut hadir adalah Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif dan Encik Zainal Arifin Khalid, Engagement Partner & Lead, NBO Leadership Sdn Bhd.

Kunjungan hormat YBhg. Dato’ Nor Azmi bin Karim, Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) pada 3 April 2023 di Ibu Pejabat PUNB.

Lawatan ini sempena penempatan pegawai SPRM, Encik Abdul Razak bin Hamzah sebagai Ketua Unit Integriti & Tadbir Urus PUNB. Pelantikan ini merupakan salah satu inisiatif PUNB bagi meningkatkan nilai integriti dan tadbir urus yang baik di kalangan warga kerja.

Turut hadir adalah YBhg. Datuk Muhammad bin Ismail, Ahli Lembaga Pengarah PUNB, Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengurusan Eksekutif PUNB.

PUNB mengucapkan Selamat Datang! Bersama kita membudayakan integriti di PUNB!

YBhg. Datuk Muhammad bin Ismail, Ahli Lembaga Pengarah PUNB
YBhg. Dato’ Nor Azmi bin Karim, Pengarah Bahagian Pengurusan Integriti Agensi, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM)
Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif

Pengurusan risiko perniagaan merujuk kepada proses mengenal pasti, menganalisa dan mengurangkan potensi risiko yang boleh memberi kesan negatif kepada operasi, kewangan dan reputasi syarikat. Strategi pengurusan risiko yang berkesan bertujuan untuk meminimumkan kebarangkalian dan tahap kritikal risiko sambil memaksimumkan peluang untuk pertumbuhan dan keuntungan perniagaan.

Dengan menguruskan risiko secara proaktif dan berterusan dalam perniagaan, ia dapat melindungi operasi, reputasi dan mencapai matlamat syarikat.

Sebagai seorang usahawan, mencari inspirasi untuk perniagaan adalah sangat penting. Berikut merupakan beberapa cara bagi seorang usahawan untuk mendapatkan inspirasi perniagaan:

  • Baca dan selidik

Baca buku, artikel, blog atau penerbitan yang berkaitan dengan perniagaan dan industri yang anda minati. Ikuti trend terkini, pelajari kajian kes yang berjaya, dan jangan takut untuk mendapatkan pengetahuan baharu tentang bidang perniagaan anda. Penyelidikan yang baik boleh menjana idea baharu dan memberi inspirasi kepada inovasi.

  • Menghadiri persidangan dan acara perniagaan

Menghadiri persidangan, seminar, pameran perdagangan dan acara perniagaan yang berkaitan dengan industri anda. Ia memberi peluang untuk berinteraksi dengan profesional, mendengar pembentangan pakar dan berkongsi idea dengan orang yang mempunyai latar belakang dan pengalaman yang berbeza.

  • Meneliti keperluan pasaran

Beri perhatian kepada trend dan keperluan pasaran yang sedang berkembang. Perhatikan perubahan dalam tingkah laku pengguna, cabaran yang dihadapi oleh industri dan peluang yang timbul. Ini boleh membantu anda mengenal pasti jurang dalam pasaran dan membangunkan idea perniagaan yang berkaitan.

  • Berinteraksi dengan orang ramai

Berhubung dengan semua lapisan masyarakat, di dalam dan di luar industri anda. Bincangkan idea dengan rakan, mentor atau profesional lain yang boleh memberikan perspektif baharu dan pandangan yang berbeza. Melibatkan diri dalam kumpulan perbincangan atau komuniti perniagaan juga boleh memberi peluang untuk berkongsi pengalaman dan mendapatkan inspirasi.

  • Lawatan dan penerokaan

Lawatan boleh memberikan pandangan baharu dan mendedahkan anda kepada budaya, produk dan perkhidmatan yang berbeza. Terokai tempat baharu, dalam dan luar negara, dan beri perhatian kepada perkara yang menarik atau unik. Pemerhatian ini boleh membawa idea perniagaan yang boleh anda laksanakan.

  • Ikuti perkembangan teknologi

Pastikan diri anda mengikuti perkembangan teknologi. Teknologi sering menjadi pencetus idea perniagaan baharu dan membolehkan anda menghasilkan penyelesaian yang inovatif. Ikuti perkembangan teknologi yang berkaitan dengan industri anda dan cari cara untuk menerapkannya pada perniagaan anda.

Ingat untuk terus terbuka kepada idea baharu dan bersedia untuk mengubah atau menyesuaikan strategi anda apabila perubahan dan perkembangan berlaku. Inspirasi boleh datang daripada banyak sumber, dan kreativiti serta ketekunan adalah kunci untuk menukar idea kepada peluang perniagaan sebenar.

PUNB telah mengadakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dengan menyumbangkan keperluan persekolahan kepada murid mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Cannosian Convent, Segamat pada hari ini.

Seramai 85 murid mangsa banjir telah menerima bantuan ini yang disampaikan oleh Encik Izwan Zainuddin, Ketua Pegawai Eksekutif PUNB. Turut hadir adalah YB Tuan Anuar Abd Manap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pemanis; Puan Mallar Selive, Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Cannosian Convent; Encik Azham Ardin, Ketua Pejabat PUNB Wilayah Selatan dan wakil daripada pengurusan PUNB.

Antara barangan yang disumbangkan PUNB adalah alat tulis, beg sekolah, pakaian sekolah dan kasut. Sumbangan ini bagi meringankan beban ibu bapa yang terlibat dan diharapkan bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka yang terjejas.

Sebut sahaja mengenai perniagaan, pasti pelbagai perkara bermain di kotak fikiran seseorang yang ingin bergelar usahawan. Untuk menceburi bidang keusahawanan, seseorang itu perlu memiliki ilmu pengetahuan dan mengikuti latihan berkaitan keusahawanan. Ini kerana latihan keusahawanan dapat membantu seseorang untuk mempelajari dan memahami cara untuk mengendalikan sesebuah perniagaan dengan lebih efektif. Malah latihan keusahawanan juga dapat membangun ciri-ciri kepimpinan, kreativiti dan kemahiran inovasi yang diperlukan dalam dunia perniagaan.

Jom ikuti pandangan dua usahawan muda ini berkaitan latihan keusahawanan dalam menceburi bidang perniagaan!

Kesimpulannya, latihan keusahawanan adalah sangat penting dalam perniagaan kerana ia memberi peluang kepada seseorang usahawan dalam mempelajari pelbagai kemahiran keusahawanan yang diperlukan untuk mempertingkatkan perniagaan. Selari dengan ini, PUNB turut menyediakan latihan keusahawanan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan usahawan dalam bidang pengurusan kewangan, pemasaran, tadbir urus korporat dan pengurusan am. Sekali gus dapat membantu usahawan mencapai kejayaan dalam perniagaan dengan lebih efektif dan efisien. Anda boleh dapatkan perkongsian mengenai senarai latihan keusahawanan di sini: https://tinyurl.com/5bu6red9

Akar Keladi Melilit Selasih

Selasih Tumbuh Di Dalam Taman

Junjungan Budi Sanjungan Kasih

Mesra Kenangan Sepanjang Zaman

Berlabuh sudah tirai tahun 2022 dengan terpahatnya suatu kenangan dua figura kepimpinan, iaitu Yang Hormat Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris dan Encik Abdul Jammi Abdul Karim yang telah menamatkan perkhidmatan mereka di PUNB.

SELAMAT TINGGAL KEPADA SEORANG YANG BERWAWASAN: PENGERUSI YANG MENINGGALKAN LEGASI KEJAYAAN

Yang Hormat Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris mula menerajui pucuk pimpinan sebagai Pengerusi PUNB pada 15 Oktober 2021 sehingga 20 Disember 2022.

Beliau merupakan seorang pemimpin yang amat komited dan cekal memperjuangkan visi dan misi PUNB dalam usaha menyambung legasi pemimpin terdahulu bagi memartabatkan lagi taraf keusahawanan Bumiputera ke suatu tahap yang lebih tinggi.

Di bawah kepimpinan beliau, PUNB kini lebih meluas dengan pembukaan dua buah pejabat cawangan baharu di Jerantut dan Miri selain penambahan ruang tingkat di ibu pejabat PUNB sebagai langkah menstruktur semula suasana pejabat demi keselesaan warga kerja serta para pelanggan yang berkunjung.

Dalam kalangan warga kerja, beliau disifatkan sebagai seorang pengerusi yang mempunyai perwatakan mesra dan mudah didekati, suka berjenaka, bersikap terbuka untuk menerima pendapat tetapi dalam masa yang sama tegas dan telus membuat sebarang keputusan.

Beliau juga merupakan seorang pemimpin yang mementingkan kebajikan warga kerja dan Rakan Usahawan. Atas dasar keperihatinan yang tinggi, beliau turut turun padang membantu mangsa banjir ketika musibah banjir melanda negara.

PUNB amat menghargai segala jasa dan sumbangan serta usaha yang telah dicurahkan sepanjang Yang Hormat Dato’ bersama PUNB. Inspirasi dan perjuangan yang ditinggalkan akan kami teruskan demi pembangunan agenda keusahawanan Bumiputera.

Semoga Yang Hormat Dato’ Haji Ahmad Nazlan diberi kesihatan yang baik dan semoga segala perkara yang diceburi dalam memberi manfaat kepada orang lain akan mendapat kejayaan dan keredhaan Allah SWT.

PENGHORMATAN KEPADA SALAH SEORANG PELOPOR PUNB: JASAMU DIKENANG

Bersama PUNB selama 29 tahun dan merupakan pelopor terawal yang bersama-sama berganding bahu membangun PUNB sehingga menjadi sebuah pusat keusahawanan Bumiputera yang unggul seperti hari ini.

Encik Abdul Jammi Abdul Karim telah memulakan kerjayanya bersama PUNB pada 1 Jun 1993 sebagai Pengurus Projek dan telah diberi kepercayaan oleh Ahli Lembaga Pengarah PUNB untuk menjadi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB pada 12 Julai 2011 sehingga 31 Disember 2022.

Dikenali sebagai individu yang tidak pernah lokek dengan senyuman dan sentiasa tenang walaupun berhadapan dengan cabaran tugasan membuatkan setiap warga kerja berasa amat senang apabila bekerjasama dengannya.

Dalam kalangan warga kerja di bawah jabatan seliaannya juga, beliau disifatkan sebagai seorang ketua dan pemimpin yang amat dedikasi, memiliki pemikiran tajam, berpengetahuan luas, mudah mesra selain sering memberi pendapat serta cadangan sebagai penambahbaikan dalam melaksanakan sesuatu tugasan.

Sesungguhnya tempoh 29 tahun perkhidmatan bukanlah singkat dan pasti pelbagai memori yang telah tercipta khususnya bersama warga kerja dan Rakan Usahawan. Jutaan penghargaan atas segala sumbangan, khidmat bakti dan tunjuk ajar yang tiada galang gantinya selama Encik Jammi menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Jabatan Hartanah, Ketua Jabatan Perkhidmatan Korporat serta Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif.

Semoga Encik Abdul Jammi terus maju jaya dalam segala aspek lapangan yang diceburi dan dikurniakan kesihatan yang baik serta sentiasa dirahmati oleh Allah SWT.

Selamat Bersara kepada Encik Abdul Jammi Abdul Karim.

Berlabuh sudah tirai tahun 2022 dengan terpahatnya suatu kenangan dua figura kepimpinan, iaitu Yang Hormat Dato’ Haji Ahmad Nazlan Idris dan Encik Abdul Jammi Abdul Karim...

SCRAP COMPUTER TRADING SDN BHD – Rakan Usahawan PUNB

Sisa elektrik dan elektronik atau lebih dikenali sebagai e-waste perlu dilupuskan secara mesra alam kerana terdapat bahan toksik yang boleh menjejaskan kesihatan manusia dan alam sekitar.  Lazimnya, kediaman dan syarikat akan membuang peralatan elektrik dan elektronik yang telah rosak ke dalam tong sampah seperti bahan buangan yang lain. Hal ini terjadi kerana cara pelupusan e-waste memerlukan tenaga kerja mahir dalam bidang elektrik dan elektronik dan kos yang tinggi.

Mengambil kesempatan dari situasi itu, Rakan Usahawan PUNB, Abdul Haddis Abdul Aziz, pemilik kepada Scrap Computer Trading Sdn Bhd merasakan ia adalah peluang dan masa terbaik untuk membuka perniagaan yang menawarkan perkhidmatan mengumpul dan melupus e-waste. Beliau mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjaya sebagai pensyarah dan memulakan perniagaan daripada pangsapuri yang disewa bersama isterinya pada 2004. Alhamdulillah, kini beliau berjaya menjalankan operasi perniagaan di sebuah kilang yang terletak di Taman Seri Muda, Shah Alam, Selangor.

“Tidak ramai yang tahu bahawa setiap komponen dalam peranti dan perkakasan elektrik mempunyai nilai. Bak kata pepatah Inggeris, ‘One man’s trash is another man’s treasure’, sehubungan itu, Scrap Computer Trading (SCT) nekad mengumpul dan mengguna semula komponen ini untuk menjana pendapatan selain menyediakan khidmat pelupusan e-waste untuk melindungi alam sekitar,” kata Abdul Haddis.  

Seperti perniagaan yang lain, di awal penubuhan SCT turut menghadapi cabaran dalam memperkenalkan perkhidmatan mereka memandangkan tahap kesedaran masyarakat terhadap kitar semula e-waste masih rendah. Bagi mengatasi masalah ini, Abdul Haddis bersama pasukannya mengambil inisiatif mengadakan kempen kesedaran kitar semula e-waste. Secara tidak langsung, inisiatif ini bukan sahaja memberi pendedahan dan kesedaran kepada masyarakat malah turut memperkenalkan syarikat dan perkhidmatan SCT.

Pekerja SCT sentiasa memastikan setiap komponen dapat diguna semula sebaik mungkin

Selain itu, dalam memperkasa kesedaran kitar semula e-waste, SCT turut menyediakan pusat kitar semula e-waste dikenali sebagai ‘Recycling & Buy-Back’ yang terletak di AEON Bukit Raja, Klang. Ini untuk memupuk budaya kitar semula di kalangan masyarakat dan menyenangkan pengunjung ke pusat beli-belah ini yang ingin melupuskan peranti dan perkakasan elektrik. Daripada e-waste dibuang begitu sahaja, lebih baik dijual untuk kitar semula dan mendapat insentif dalam bentuk wang selain memelihara alam sekitar.

Langkah ke hadapan, SCT merancang untuk meningkatkan lagi kempen kesedaran kepentingan kitar semula e-waste. Selain itu, SCT juga ingin membuka peluang kepada mereka yang berkemahiran untuk menonjolkan bakat sekaligus mencipta peluang-peluang pekerjaan dalam bidang ini. Menurut Abdul Haddis, perniagaan ini bukan berkisar tentang pelupusan sahaja, bahkan memerlukan seseorang yang berpengetahuan dan mahir berkaitan ilmu elektrik dan elektronik dalam memastikan setiap barangan yang dikitar semula adalah bermanfaat. 

Sebelum mengakhiri temu bual ini, Abdul Haddis sempat menitipkan pesanan buat usahawan, “Menjalankan perniagaan tidak mudah kerana kita perlu sentiasa belajar dan ingat pelbagai perkara, namun dengan formula yang betul, saya percaya kita boleh mencapai matlamat utama,” akhiri Abdul Haddis.

Read Policy

We Value Your Feedback!

    Question 1

    Overall Experience:

    How would you rate your overall experience on our website?

    Question 2

    Finding Information:

    How easy was it to find the information you were looking for?

    Question 3

    Helpful Section:

    Which part of our website was the most helpful for you?

    Question 4

    Website Expectations:

    Did our website meet your expectations?

    Question 5

    Likelihood to Return:

    How likely are you to return to our website in the future?